SUKAN

Sukan SEA: Impian Hatrik Andre Anura Berkecai, Dominasi Malaysia Dalam Lompat Kijang Berakhir

12/12/2025 01:31 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 11 Dis (Bernama) -- Hasrat jaguh lompat kijang negara Andre Anura Anuar untuk melakar kejayaan emas hatrik pada Sukan SEA 2025 lebur selepas sekadar merangkul perak di Stadium Supachalasai di sini hari ini.

Andre Anura melakukan 16.29 meter (m), sekali gus menyaksikan beliau terlepas pingat emas kepada wakil Vietnam Ho Trong Manh Hung menerusi catatan 16.33m manakala gangsa milik Gabriel Jing Yi dari Singapura dengan catatan 16.09m.

Keputusan itu turut menyaksikan dominasi Malaysia sejak edisi 2015 di Singapura berakhir.

Atlet berusia 26 tahun itu mengakui beliau beraksi dalam tekanan untuk mempertahankan emas dimenanginya sejak edisi 2021 di Vietnam.

“Banyak lagu saya nyanyi tadi dan bercakap seorang diri namun itulah hanya perak kali ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tetap bersyukur dapat melakukan lompatan lebih 16m selepas kali terakhir dicapainya sewaktu memenangi emas kedua peribadi pada Sukan SEA edisi lepas di Phnom Penh dengan 16.06m.

Sementara itu, Sadat Marzuqi Ajisan mencipta kejutan menumpaskan atlet berpengalaman Jackie Wong untuk memenangi perak dalam acara baling tukul besi lelaki.

Sadat mencatatkan 60.15m, meninggalkan Jackie yang meraih gangsa (59.81m) manakala atlet tuan rumah Kittipong Boonmawan merangkul emas (63.11m).

Atlet dari Gemas itu berkata beliau berpuas dapat mengatasi Jackie selepas sering kali tewas kepadanya sebelum ini dan berazam untuk melakukan prestasi lebih baik pada edisi seterusnya di Malaysia.

Kontinjen olahraga negara turut mengutip satu lagi perak menerusi Queenie Ting Kung Ni dalam acara lempar cakera wanita selepas merekodkan 51.81m di belakang juara bertahan dari Thailand Subenrat Insaeng (58.86m) dan gangsa milik Le Thi Cam Dung dari Vietnam (49.34m).

Dalam pada itu, perjuangan pemenang emas lompat bergalah wanita edisi 2021 Nor Sarah Adi berakhir dengan mengecewakan apabila menamatkan saingan di tempat terakhir dengan 3.60m.

Atlet Indonesia Diva Renatta Jayadi memenangi acara itu dengan rekod baharu temasya, iaitu 4.35m yang memadam catatan lama milik Natalie Uy dari Filipina dengan 4.25m pada Sukan SEA 2019.

Perak menjadi milik Chonthicha Khabut dari Thailand (4.05m) dan gangsa diraih Maria Andriani Melabessy dari Indonesia (3.90m).

Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501588