KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir sebelum ini yang memihak kepada pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, membuktikan kekukuhan undang-undang Malaysia dalam mempertahankan maruah serta negara, terutamanya Sabah.
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata Mahkamah Rayuan Paris, telah menunjukkan ketegasan dengan mengenepikan Award Akhir yang dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022.
“Pembatalan itu menunjukkan Stampa jelas sekali tidak memiliki bidang kuasa sah untuk mengeluarkan Award Akhir.
“Ketiadaan perjanjian timbang tara yang mengikat Malaysia secara, sah menjadi alasan fundamental dan tidak boleh dipertikaikan dalam pembatalan ini. Justeru, tindakan Stampa melampaui batas,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang juga Penyelidik Unit Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo (GeoPES) UMS berkata sedemikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada Selasa lepas, yang membatalkan sepenuhnya Award Akhir sebanyak USD14.9 bilion dikeluarkan Stampa itu.
Mahkamah itu memutuskan bahawa Stampa tidak mempunyai bidang kuasa, selain ketiadaan perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia dengan prosiding tersebut.
Syahruddin Awang turut menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris mengarahkan pihak berkenaan untuk membayar kos perundangan berjumlah €200,000 (RM959,180) kepada Kerajaan Malaysia, adalah sesuatu yang wajar.
“Perlu diingat, War Room Sekretariat Khas Sulu juga ada menyatakan keyakinan bahawa kemenangan undang-undang ini akhirnya akan menamatkan semua cubaan yang sangat tidak berasas.
“Kekalahan ini seharusnya menyedarkan pihak yang berkenaan. Pembatalan Award Akhir ini amat penting kerana mengukuhkan Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan, imuniti dan kepentingan negara daripada tuntutan yang mengarut serta menjejaskan Sabah,” katanya.
Beliau berkata jika diteliti perjalanan kes berkenaan sebelum pembatalan Award Akhir, Mahkamah Rayuan Paris telahpun menolak pengiktirafan dan pelaksanaan Partial Award pada 2023, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Agung Perancis pada 2024.
“Kedua-dua keputusan awal dan pembatalan Award Akhirnya ia menjadi satu bukti yang tidak dapat dinafikan, bahawa proses timbang tara dilakukan Stampa bermula sejak awal lagi memang dilakukan tanpa asas undang-undang yang sah,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan UMS Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata keputusan berkenaan penting dalam menegaskan kedaulatan Malaysia.
“Keputusan membatalkan award arbitrasi Sulu dan memerintahkan kos €200,000 dibayar, memperkukuh lagi tuntutan Malaysia melalui undang-undang antarabangsa,” katanya yang juga Profesor Madya di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS.
Beliau juga memuji usaha kerajaan Malaysia yang tidak sama sekali bertolak ansur dalam isu yang menganggu gugat kedaulatan negara.
-- BERNAMA