Masyarakat baru-baru ini kecoh dengan laporan berita tentang serbuan ke atas spa khusus untuk lelaki, mencetuskan pelbagai spekulasi dan tohmahan terutama di media sosial, dengan ada yang mengambil peluang berkongsi pengalaman mereka menguruskan jenazah penghidap HIV/AIDS.
Namun, sejauh mana kebenaran pengalaman mereka itu?
Bernama terpanggil untuk menyoroti kisah di sebalik pengurusan jenazah penghidap penyakit berjangkit khususnya HIV/AIDS, mengambil kira realiti semasa negara, iaitu majoriti mereka yang dijangkiti Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan penghidap sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) ini adalah dalam kalangan lelaki pengamal hubungan sejenis atau homoseksual.
(HIV menyerang sistem imun badan dan melemahkan keupayaannya melawan jangkitan. Jika tidak menerima rawatan, jangkitan boleh berkembang menjadi AIDS, iaitu tahap paling serius penyakit itu.)
Mengimbas pengalaman menguruskan jenazah penghidap penyakit yang tiada penawar itu, Mohd Shazni Abdullah berkata sepanjang lebih 10 tahun berkhidmat sebagai pengurus jenazah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), beliau telah mengendalikan 80 hingga 100 jenazah penghidap HIV/AIDS.
“Namun begitu, kes yang paling saya ingat ialah sekitar setahun lalu, melibatkan seorang individu transgender berusia 50-an. Saya ingat kes ini kerana semasa menguruskan jenazah Allahyarham, ramai rakan-rakan transgender arwah datang dan saya berpeluang menyantuni mereka serta menasihati mereka agar mengambil iktibar,” ujarnya, berkongsi cerita dengan Bernama.
Malah katanya rakan-rakan arwah turut bersama-sama menyertai solat jenazah.
PROSEDUR TAMBAHAN
Bercerita lanjut, Mohd Shazni yang juga Ketua Jabatan Hal Ehwal Islam di PPUM, berkata pada asasnya pengurusan jenazah penghidap HIV/AIDS sama seperti pengurusan jenazah umat Islam yang lain, seperti dimandikan, dikafankan dan disolatkan sebelum diserah kepada waris untuk pengebumian.
Namun katanya dalam konteks keselamatan, pihak pengurus jenazah perlu mematuhi beberapa prosedur tambahan.
“Prosedur biasa dalam kes kematian di hospital ialah jenazah akan dibawa ke bilik mayat, di mana waris akan melakukan pengecaman. Selepas itu, jika keluarga atau waris memilih untuk menguruskan jenazah di luar fasiliti, pergerakan jenazah akan diatur dengan pematuhan prosedur keselamatan. Namun dalam kes HIV/AIDS atau penyakit berjangkit lain, jenazah tidak dibenarkan diuruskan di luar hospital.
“Untuk pengurusan di hospital pula, jenazah normal boleh diuruskan terus di surau ataupun bilik jenazah biasa, tetapi jenazah HIV atau yang disahkan ada penyakit berjangkit seperti tuberculosis (TB), perlu diurus secara berasingan di bilik forensik demi keselamatan semua staf,” jelasnya.
Menurutnya, proses itu menggabungkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selagi prosedur tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak.
“Jakim menekankan maruah jenazah dan tanggungjawab fardu kifayah, manakala KKM memberi fokus kepada keselamatan serta pencegahan jangkitan,” jelas beliau. Gabungan kedua-dua SOP memastikan setiap jenazah diurus dengan penuh hormat dan mematuhi keperluan keselamatan.
Menurut dokumen rasmi KKM, Guidelines for the Transport and Disposal of Dead Bodies Due to HIV Infection / AIDS, pengendalian jenazah sedemikian mesti mematuhi langkah pencegahan rapi, termasuk penggunaan sarung tangan berganda, pelitup muka, apron kalis air, kasut pelindung dan air dicampur bahan peluntur bagi membersihkan permukaan tercemar. Semua langkah ini bertujuan menjaga keselamatan petugas tanpa mengurangkan penghormatan terhadap jenazah.
“Selain itu, dalam menguruskan jenazah penyakit berjangkit seperti HIV/AIDS, peraturan KKM menetapkan jenazah perlu dibalut dengan plastik jernih sebelum dibalut dengan kain kafan.
“Selepas selesai proses kafan, sebelum bahagian wajah jenazah ditutup, waris akan dipanggil masuk ke bilik pengurusan untuk melihat ahli keluarga mereka buat kali terakhir. Akan tetapi waris akan dinasihatkan supaya tidak memeluk atau mencium jenazah bagi mengurangkan risiko pendedahan,” jelasnya.
Tambah beliau, jenazah yang siap dikafankan perlu dimasukkan ke dalam beg mayat sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
“Memang jenazah HIV/AIDS perlu terus dibawa untuk pengebumian, tidak dibenarkan dibawa ke rumah atau tempat lain bagi memastikan pematuhan SOP keselamatan,” jelas beliau.
Bagi pasukan pengurus jenazah pula, seusai menguruskan jenazah, mereka perlu segera membersihkan bahagian tubuh yang terdedah semasa proses memandikan dan mengafankan jenazah.
PENERIMAAN WARIS
Sementara itu, bertentangan dengan persepsi masyarakat bahawa jenazah HIV/AIDS selalunya tidak diterima oleh waris, Mohd Shazni berkata hanya sebilangan kecil yang bersikap sedemikian.
“Majoritinya keluarga datang dan terima jenazah. Mereka terlibat dalam pengebumian. Namun, tidak dapat disangkal ada yang warisnya tidak tampil walaupun telah dimaklumkan akan kematian ahli keluarga mereka,” kongsinya.
Dalam kes sedemikian, beliau berkata jenazah akan disimpan di dalam peti sejuk khas sehingga satu tempoh, dan kemudian akan diuruskan dan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (dalam konteks Kuala Lumpur) untuk pengebumian.
Mengulas lanjut, beliau berkata komunikasi antara pasukan pengurus jenazah dengan waris juga penting agar tidak menambah tekanan emosi kepada mereka.
“Kami perlu jelaskan kepada waris prosedur keselamatan tambahan yang diambil, misalnya penggunaan air bercampur bahan peluntur (biasanya Clorox) untuk membersihkan permukaan kawasan yang terdedah seperti tempat mandi jenazah, lantai dan peralatan lain yang digunakan.
“Begitu juga dengan penggunaan plastik. Kita perlu terangkan mengapa kita perlu balut jenazah dengan plastik dan sebagainya,” jelas beliau, menambah penggunaan plastik itu perlu bagi mengelakkan pencemaran cecair badan jenazah.
Ditanya tentang perkongsian di media sosial akan keadaan jenazah HIV/AIDS, Mohd Shazni mengakui lazimnya jenazah penghidap penyakit itu berada dalam keadaan sangat uzur, sekali gus menuntut pengurusan yang lebih teliti demi menjaga aib dan maruah si mati.
“Kadang-kadang waris terdekat enggan mendekati jenazah disebabkan stigma dan juga keadaan jenazah, tetapi kami tetap menunaikan tanggungjawab fardu kifayah, memandikan dan mengafankan sebelum jenazah disolatkan.
“Dalam Islam, menyebarkan aib amat ditegah. Prinsip ini terpakai dalam semua aspek kehidupan termasuk selepas seseorang itu meninggal dunia. Sebagai pengurus jenazah, kami berpegang pada prinsip ini. Tidak kira seuzur mana keadaan jenazah, aibnya perlu dijaga,” tegas beliau.
PERBEZAAN DENGAN BUKAN ISLAM
Prosedur keselamatan sama turut terpakai dalam pengurusan jenazah bukan Islam, termasuk dibalut dengan plastik dan diletakkan di dalam beg mayat sebelum dibawa ke pusat pengurusan jenazah.
Perkara itu diakui oleh Pengarah Perkhidmatan Daerah Pusat Pengurusan Mayat (Bukan Muslim) Nirvana Sungai Besi Jackson Wong Yew Choong.
“Secara umum, pengurusan jenazah bukan Islam bermula sebaik sahaja waris menghubungi kami. Jika kematian di hospital, waris akan melakukan pengecaman di unit forensik sebelum menyerahkan jenazah kepada pihak Nirvana.
“Jika berlaku di rumah, perlu ada pengesahan kematian, laporan polis dan juga keputusan bedah siasat sebelum diserahkan kepada kami. Kemudian kami akan lakukan proses biasa iaitu embalm (awet) untuk pastikan kesegaran mayat sekurang-kurangnya selama lima hari sebelum upacara akhir.
“Jasad kemudian dibersihkan, didandan, dipakaikan pakaian pilihan keluarga dan dimasukkan ke dalam keranda sebelum dihantar ke rumah keluarga atau dewan upacara selama tiga hari dua malam sebelum dikebumikan atau dibakar,” jelasnya ketika ditemui Bernama.
Bagaimanapun, beliau berkata untuk kes HIV/AIDS dan penyakit berjangkit lain seperti TB, protokol keselamatan ditingkatkan.
“Kalau kematian melibatkan penghidap penyakit berjangkit, kita kena pakai sut perlindungan diri (PPE) yang lengkap. Mayat perlu diletakkan di dalam beg mayat sebelum dimasukkan ke dalam keranda,” jelas Wong, menambah keranda juga ditutup rapat dengan silikon.
“Sepanjang proses ini akan dipantau oleh petugas KKM,” tambahnya lagi.
Sekalipun begitu, beliau berkata waris tetap diberi ruang untuk menatap jasad ahli keluarga mereka buat kali terakhir secara terkawal.
“Waris akan ditempatkan di sebuah bilik bercermin untuk pengecaman terakhir sebelum keranda ditutup,” tambah beliau.
Berkongsi tentang tugasnya, Wong yang telah terlibat dalam bidang itu selama 25 tahun, berkata kerjaya tersebut menuntut disiplin dan komitmen tinggi.
“Kerja sebegini tak tentu masa. 24 jam on call…kadang-kadang saya tengah makan atau shopping dengan keluarga, kena tinggalkan semuanya dan terus bergegas ke hospital, namun saya tidak pernah menyesal kerana ini tanggungjawab sosial saya kepada masyarakat,” katanya sambil tersenyum.
MENANGANI PENINGKATAN JANGKITAN HIV
Menurut KKM, jangkitan HIV di Malaysia tertumpu pada empat kumpulan utama: pengguna dadah secara suntikan (PWID), pekerja seks wanita (FSW), transgender (TG) dan hubungan seksual sesama jenis lelaki (MSM). Pada era 1990-an, jangkitan HIV paling tinggi dalam kalangan PWID, iaitu 70 ke 80 peratus daripada jumlah kes. Namun sejak 2010-an, landskap jangkitan mula berubah kepada transmisi seksual.
Data terkini KKM menunjukkan sebanyak 3,185 kes baharu HIV dicatatkan pada 2024 dengan lelaki muda berusia 20 hingga 30 tahun mewakili tiga perempat daripada jumlah keseluruhan. Sebanyak 90 peratus daripada mereka pula menghidap HIV/AIDS disebabkan oleh hubungan seksual sejenis.
Mengulas trend jangkitan HIV/AIDS dalam kalangan lelaki muda, Ketua Jururawat Kaunseling HIV/AIDS Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia Nik Mohd Irwan Nik Pa berkata punca utama ialah hubungan seks songsang dan seks tidak selamat.
“Dalam hal ini, tidak banyak yang dapat kita lakukan selain menasihati golongan berisiko tinggi ini menggunakan kondom atau menahan diri daripada terjebak. Kita juga nasihati mereka supaya setia pada pasangan dan lakukan ujian HIV secara berkala,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, dalam konteks penularan aktiviti hubungan sejenis, peranan ibu bapa amat penting untuk memantau anak-anak mereka yang kian terdedah kepada aplikasi tidak selamat di telefon pintar.
“Sekarang terdapat terlalu banyak aplikasi janji temu, termasuk untuk pasangan sesama jenis, yang tidak dikawal selia serta mudah dimuat turun. Anak-anak ingin mencuba dan seterusnya terjebak. Inilah yang berlaku sekarang.
“Kami cuma boleh nasihat, kembalilah kepada fitrah manusia dan penghayatan ajaran agama adalah penting dalam membendung penularan HIV,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shazni ketika menutup bicaranya dengan Bernama, berkata selaku pengurus jenazah, status individu sebelum kematiannya tidak penting bagi mereka dan tidak sesekali dijadikan pengukur dalam memastikan jenazah menerima layanan terakhir dengan penuh penghormatan.
“Bila kami mengurus jenazah, kami sedar mereka pernah punya sejarah dan cerita, keluarga, serta maruah. Menghormati mereka hingga ke akhirnya adalah amanah dan ibadah yang mendidik jiwa bahawa akhlak kita terhadap yang telah pergi sebenarnya cerminan siapa kita yang masih hidup,” ujarnya.