BEIJING, 12 Dis (Bernama-CMG) -- Gerak kerja ekonomi China bagi 2026 perlu mampan dan agresif, dengan menumpukan kepada peningkatan kualiti, keberkesanan dan kecekapan tadbir urus makro.
Selain itu, pelaksanaan dasar kewangan yang lebih proaktif dan dasar mata wang yang longgar sederhana harus diteruskan.
Keputusan itu dibuat dalam Majlis Libat Urus Pucuk Pimpinan China untuk Gerak Kerja Ekonomi yang diadakan di sini pada 10 hingga 11 Dis.
Presiden China Xi Jinping ketika mempengerusikan majlis libat urus itu membuat rumusan terhadap prestasi ekonomi China sepanjang 2025, menganalisis situasi ekonomi semasa dan mengemukakan cadangan tentang gerak kerja ekonomi bagi 2026.
Majlis itu menegaskan keperluan mengekalkan pelaksanaan dasar ekonomi makro yang konsisten dan meningkatkan kerelevanannya dalam operasi sosioekonomi.
Antara lapan langkah utama bagi gerak kerja ekonomi 2026 yang diketengahkan termasuk membina pasaran domestik kukuh yang diterajui permintaan dalam negeri.
Perkara-perkara lain yang disentuh termasuk mempertahankan peranan inovasi sebagai penggerak pembangunan, mempercepatkan langkah dalam mencetuskan momentum baharu, seterusnya memperhalusi pelaksanaan dasar pembaharuan, serta menyuntik dinamik ke dalam pembangunan berkualiti tinggi.
Di samping itu, pelaksanaan dasar pintu-terbuka kepada dunia luar harus diteruskan di sebalik kerjasama yang bersifat sama menang dalam pelbagai bidang.
Penyelarasan pembangunan ditekankan antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar serta antara daerah.
Transformasi industri tenaga hijau dilakukan dengan menyeluruh berpandukan matlamat mencapai kemuncak dalam bidang pelepasan karbon dan peneutralan karbon.
Ia turut mengetengahkan masalah hidup rakyat dan dijadikan keutamaan sambil berusaha meningkatkan kepekaan terhadap rintihan di peringkat akar umbi.
Selain itu, berwaspada pada bila-bila masa dan berhemah ketika menangani dan menghapuskan risiko yang berpotensi dalam bidang-bidang kritikal.
-- BERNAMA-CMG