DUNIA

Hong Kong Perkenal Peraturan Baharu Jamin Keselamatan Jaring Perancah

12/12/2025 10:33 PM

HONG KONG, 12 Dis (Bernama-Xinhua) -- Hong Kong telah memperkenalkan peraturan baharu yang mewajibkan sijil dan laporan ujian yang membuktikan prestasi kalis api jaring perancah luaran sebelum digunakan, lapor Xinhua.

Setiausaha Pembangunan kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) Bernadette Linn, berkata pada Khamis bahawa sampel yang ditetapkan mesti dikumpulkan seperti diarahkan dan dihantar ke makmal kerajaan untuk diuji, dan hanya produk yang diluluskan dibenarkan digunakan. Pihak berkuasa pengawal selia juga akan menjalankan pemeriksaan rawak bagi tujuan pengesahan.

Linn menjelaskan bahawa peraturan baharu itu bukan sahaja terpakai kepada jaring perancah yang digunakan dalam projek pembaikan dan penyelenggaraan, tetapi turut meliputi penggunaannya dalam pembinaan bangunan baharu dan kerja-kerja meroboh. Beberapa kelonggaran akan diberikan kerana struktur baharu belum diduduki dan membawa risiko yang lebih rendah.

Beliau menambah bahawa kerajaan akan melaksanakan langkah sokongan, termasuk menubuhkan pusat ujian yang mencukupi bagi mengeluarkan keputusan ujian dalam tempoh seminggu selepas sampel diserahkan.

Linn berkata Majlis Industri Pembinaan (CIC) akan menyelaras perolehan pukal dan perkhidmatan ujian. Sepanjang tempoh peralihan, CIC juga akan menyediakan 5,000 tempat latihan untuk penggiat industri, dengan subsidi ditawarkan kepada peserta.

CIC turut memaklumkan bahawa ia akan mewujudkan sistem pelabelan penjejakan sumber bagi merekodkan pergerakan jaring perancah dari pengilangan hingga ke penggunaannya di tapak pembinaan, bagi membantu menyeragamkan amalan industri.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502212