KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap panggilan tidak dikenali yang mematikan talian secara tiba-tiba atau tidak mengeluarkan sebarang suara kerana tindakan terbabit berpotensi digunakan bagi tujuan eksploitasi suara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan berkaitan dakwaan mangsa menerima panggilan kosong, dirakam suaranya dan suara itu digunakan melalui aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi menipu kenalan mereka.
“Bagaimanapun, orang ramai perlu mengambil langkah berhati-hati dan digalakkan untuk tidak menyebut maklumat peribadi ketika menerima panggilan mencurigakan serta membuat pengesahan dengan talian rasmi sekiranya menerima panggilan yang mendakwa melibatkan pihak berkuasa atau institusi kewangan.
“Sebarang panggilan atau mesej meragukan hendaklah segera dihentikan dan dilaporkan kepada polis,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perkongsian Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur berkaitan taktik terbaharu penipuan.
-- BERNAMA