KUALA TERENGGANU, 3 Dis (Bernama) -- Seorang wanita warga emas kerugian RM39,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau “phone scam”.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 21 Nov lepas, mangsa yang berusia 72 tahun telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai wakil insurans.
Beliau berkata suspek mendakwa mangsa telah membuat tuntutan insurans kesihatan palsu sebanyak RM68,000 sebelum disambungkan kepada rakan suspek yang kononnya pegawai polis dari Kuala Lumpur.
"Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dan diminta membuat bayaran bagi mengelak ditangkap.
"Mangsa yang ketakutan telah membuat sembilan kali bayaran berjumlah RM39,000 ke akaun yang diberikan dalam tempoh 24 hingga 27 Nov dengan menggunakan wang simpanan sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata siasatan mendapati suspek telah membuat tempahan kenderaan e-hailing bagi membolehkan mangsa pergi ke bank untuk membuat urusan berkaitan.
Mangsa yang berasal dari Kampung Simpang Tokku, di sini juga diarah supaya melapor diri setiap tiga jam kepada suspek melalui panggilan telefon selepas semua pembayaran selesai.
"Mangsa yang telah kematian suami kira-kira 10 tahun lepas tinggal berjauhan dengan 10 anaknya. Oleh itu, suspek telah membuat tempahan kenderaan e-hailing untuk mangsa berurusan di bank.
"Mangsa menyedari ditipu setelah usahanya menghubungi suspek pada 1 Dis lepas untuk mengetahui mengenai perkembangan kes gagal," katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA