AM

UMK Laksana 21 Projek Kampung Angkat MADANI Di Machang

14/12/2025 03:40 PM

MACHANG, 14 Dis (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melaksanakan 21 projek komuniti menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI di Kampung Bukit Tiu di sini, sepanjang tempoh enam bulan tahun ini, melibatkan kerjasama strategik antara universiti dan masyarakat setempat.

Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata projek itu merangkumi penambahbaikan infrastruktur, program penjanaan pendapatan komuniti serta aktiviti bakti siswa yang melibatkan penyertaan pelajar dan kakitangan universiti.

“Alhamdulillah, sepanjang tempoh bermula Mac hingga Disember tahun ini, UMK melaksanakan keseluruhan 21 projek komuniti di Kampung Bukit Tiu dengan impak positif kepada lebih 1,000 penduduk setempat,” katanya pada Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan projek itu disokong sepenuhnya melalui peruntukan RM1 juta yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan menerusi inisiatif MADANI, dan dana itu digunakan sepenuhnya dalam tempoh tahun semasa.

Beliau berkata program berkenaan turut memberi manfaat kepada komuniti universiti dengan penglibatan kira-kira 500 pelajar dan kakitangan UMK merangkumi 10 fakulti, sekali gus memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat setempat.

Antara projek yang dilaksanakan termasuk membantu peniaga kecil dan peniaga runcit memperkemaskan pengurusan kedai, meningkatkan keterlihatan perniagaan serta perkongsian ilmu berkaitan pemasaran.

“Maklum balas yang diterima daripada peniaga amat memberangsangkan dan menunjukkan peningkatan keyakinan serta potensi penjanaan pendapatan,” katanya.

Selain itu, UMK turut melaksanakan projek ternakan ikan keli melibatkan tujuh peserta tempatan di Machang, dengan setiap peserta disediakan sebuah kolam ternakan serta kira-kira 2,000 anak ikan keli.

“Insya-Allah, apabila dituai kelak, projek ini dijangka memberi pendapatan tambahan kepada peserta dan menyumbang kepada ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata fokus utama UMK dalam Kampung Angkat MADANI ialah pembangunan keusahawanan dan industri asas tani, selari dengan kepakaran universiti yang sebelum ini berjaya dilaksanakan di beberapa lokasi lain dan kini direplikasi di Kampung Bukit Tiu.

Sementara itu, beliau ketika mengulas mengenai persediaan menghadapi musim banjir berkata UMK sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dengan pembukaan bilik gerakan banjir susulan ramalan hujan yang bermula hari ini hingga 18 Dis ini.

“Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga menambah satu pam diesel baharu, menjadikan keseluruhan lima pam elektrik dan dua pam diesel bagi memastikan sistem saliran berfungsi secara automatik sekiranya hujan lebat,” katanya.

Beliau berkata pemantauan dilakukan secara berterusan dan UMK mempunyai prosedur operasi standard yang jelas, termasuk langkah pemindahan pelajar sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik atau situasi luar jangka.

“Peringatan dan makluman kesiapsiagaan banjir diberikan secara berkala kepada pelajar, khususnya sepanjang musim tengkujuh. Ini bukan lagi pengalaman pertama mereka dan alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan UMK.

“Kami ingin memastikan ibu bapa tidak perlu risau. Insya-Allah, UMK akan menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar dengan sebaiknya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502584