MIRI, 14 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir dan kejadian tanah runtuh semakin menurun di Sarawak dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di bahagian Miri.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) melaporkan setakat 4 petang ini, jumlah mangsa banjir dan tanah runtuh telah berkurangan kepada 29 orang daripada 17 keluarga, berbanding 127 orang daripada 60 keluarga berbanding petang semalam.
Jumlah mangsa banjir di PPS SK Suai Niah telah menurun kepada 21 orang daripada 14 keluarga daripada 119 mangsa daripada 57 keluarga.
PPS Dewan Bulan Sabit Merah pula masih kekal menempatkan empat mangsa banjir dari dua keluarga dan empat mangsa sekeluarga yang terjejas tanah runtuh.
Sementara itu, di TERENGGANU, hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan Hulu Terengganu dilanda banjir.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu Kol Pertahanan Awam (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata sebanyak 53 orang daripada 18 keluarga di daerah berkenaan dipindahkan ke dua PPS petang tadi.
Beliau berkata sebanyak 45 orang daripada 16 keluarga ditempatkan di PPS Masjid Kampung Peneh manakala lapan orang daripada dua keluarga berlindung di PPS Balairaya Kampung Lubok Periok yang dibuka pada 5.45 petang.
"Hujan lebat masih berterusan di Hulu Terengganu dengan trend mangsa dijangka bertambah.
"Orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan supaya berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan dijangka melanda beberapa negeri hingga Khamis depan.
Ketua Pengarah METMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk diramalkan berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu.
-- BERNAMA