AM

Program WRUR DUN Bukit Katil Terima 230 Aduan Libatkan Pelbagai Isu

14/12/2025 03:35 PM

MELAKA, 14 Dis (Bernama) -- Sebanyak 230 aduan rakyat merangkumi isu infrastruktur, kebajikan, kemudahan awam dan kewarganegaraan diterima menerusi Program Wakil Rakyat Bertemu Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil setakat hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil Adly Zahari berkata daripada jumlah itu, sebahagian besar aduan telah diselesaikan, manakala selebihnya sedang diselaraskan dengan agensi berkaitan, termasuk yang melibatkan bidang kuasa pihak tertentu.

“Antara aduan utama yang diterima pada Hari Aduan Rakyat hari ini ialah permohonan tambahan lampu jalan, khususnya di Kampung Bukit Pulau.

“Penduduk juga mengemukakan permohonan pembinaan pondok bas baharu yang akan diselaraskan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), selain aduan berkaitan kewarganegaraan yang akan dibawa ke peringkat kementerian untuk penilaian lanjut,” katanya kepada pemberita selepas program di Melaka Mall, di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Ab Rauf Yusoh.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata terdapat aduan melibatkan keperluan menaik taraf infrastruktur, termasuk pembesaran jambatan dan naik taraf sistem saliran.

“Kita menilai keperluan semasa bagi setiap aduan; ada yang boleh disegerakan dalam tempoh dua minggu, manakala isu infrastruktur melibatkan pembangunan baharu akan diselesaikan sebaik kelulusan bajet diperoleh memandangkan hampir hujung tahun,” katanya.

Beliau berkata WRUR DUN Bukit Katil turut diserikan dengan pelbagai aktiviti komuniti serta penyertaan jabatan dan agensi, termasuk taklimat perkhidmatan, sukan rakyat dan program kemasyarakatan.

“Hasrat kami bukan sekadar menyampaikan perkhidmatan, tetapi untuk mendekati rakyat, memahami keperluan mereka secara langsung dan memastikan setiap isu yang dibangkitkan diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502586