Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
JOHOR BAHRU, 12 Dis (Bernama) -- Pengoperasian sulung Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru hari ini, memberi kelegaan kepada pengguna pengangkutan awam khususnya rakyat Johor yang lama menantikan perkhidmatan kereta api terus antara dua destinasi itu.
Tren pertama yang berlepas dari KL Sentral kira-kira 8 pagi tadi membawa 233 penumpang tiba di JB Sentral pada 12.20 tengah hari dengan rata-rata mereka menyifatkan perkhidmatan itu bukti pemodenan dan meningkatkan sistem pengangkutan awam di selatan tanah air.
Jurutera Muhamad Izzat Safian, 35, yang pulang bercuti di Larkin berkata perkhidmatan ETS3 memberi penjimatan dari segi kos dan masa selain menawarkan keselesaan kepada pengguna tegar pengangkutan awam sepertinya.
“Selalunya kalau saya memandu atau menaiki bas, tempoh perjalanan bertambah dan ada masa lebih lambat (daripada kebiasaan) disebabkan kesesakan lalu lintas, baik pulih jalan dan sebagainya.
“Sekarang perjalanan lebih lancar dengan adanya tren dan kita rasa lebih santai serta tenang. Secara keseluruhan fasiliti termasuk tandas dan surau juga selesa,” katanya semasa ditemui di JB Sentral di sini hari ini
Warga Singapura Sulia Shamsudin, 42, berkata memilih ETS3 sebagai pengangkutan untuk pulang ke Johor Bahru selepas seminggu bercuti di Kuala Lumpur kerana ingin mencuba pengangkutan itu.
“Pada mulanya kami tidak merancang untuk pulang dengan menaiki tren. Selepas dapat tahu ada (ETS3) kami rasa teruja dan cuba nasib membeli tiket,” kata suri rumah dari Bedok, Singapura.
Sementara itu, Kwong Can Han, 34 dari Kuala Lumpur berkata memilih tren sebagai pengangkutan pulang ke kampung isteri di Taman Sutera, di sini kerana ingin merasai pengalaman berbeza.
“Selalunya saya menaiki bas tetapi kali ini teringin menggunakan tren kerana boleh menikmati pemandangan,” katanya.
Perkhidmatan ETS3 dengan kelajuan 140 kilometer per jam membolehkan penumpang menikmati perjalanan lebih pantas dan efisien dengan tempoh masa dari KL Sentral dan JB Sentral hanya kira-kira empat jam 20 minit berbanding menggunakan jalan raya yang boleh mengambil masa sehingga tujuh jam.
Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) memaklumkan perkhidmatan itu setakat ini melibatkan empat perjalanan sehari bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral.
Pembelian tiket menerusi aplikasi KITS Style, mesin kios atau laman sesawang rasmi KTMB bermula pada 9 Dis dengan tawaran diskaun istimewa 30 peratus untuk perkhidmatan ETS sektor selatan bagi perjalanan dari 12 Dis hingga 11 Jan tahun hadapan.
Pengoperasian ETS3 KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral melengkapkan sambungan laluan yang sebelum ini berakhir di Kluang.
-- BERNAMA