AM

Galeri Seni Lin Xiang Xiong Dibuka, Perkukuh Pulau Pinang Sebagai Hab Seni Antarabangsa

14/12/2025 03:39 PM

GEORGE TOWN, 14 Dis (Bernama) -- Pembukaan secara rasmi Galeri Seni Lin Xiang Xiong di sini hari ini, menandakan penubuhan sebuah institusi seni antarabangsa berasaskan kepada nilai seni, kemanusiaan dan keamanan di Pulau Pinang. 

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow merasmikan majlis pembukaan itu yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri Perancis dan Pengasas Leaders for Peace Jean-Pierre Raffarin dan pengasas galeri Profesor Lin Xiang Xiong.

Chow berkata galeri seni itu melambangkan usaha Pulau Pinang meletakkan negeri sebagai hab seni dan aktiviti berkaitan kesenian setanding dengan institusi terkemuka seperti Muzium Louvre, Paris and Tate Modern, London.

Beliau berkata banyak pelancong kini merancang perjalanan sekitar galeri dan lokasi tarikan budaya kerana berhasrat mempelajari, meneroka dan menjadikan akiviti berkaitan seni sebagai sebahagian daripada pengalaman mereka.

 “Jika Pulau Pinang boleh membina identiti kukuh berteraskan seni, ia akan menjadikan negeri lebih menarik kepada pengunjung. Penting untuk mempelbagaikan ekonomi kreatif dan tidak hanya bergantung kepada (tarikan) warisan kerana kita semakin menghampiri Tahun Melawat Malaysia 2026.   

“Kita perlu mencari kaedah, kandungan dan memberikan pengalaman baharu yang terus menjadikan Pulau Pinang menarik dan relevan. Menerusi kewujudan galeri bertaraf seperti ini, saya yakin kita menuju ke arah yang tepat,” katanya semasa berucap pada majlis itu. 

Sementara itu, Lin, 80, menekankan kepentingan seni kerana dapat menstabilkan emosi, meningkatkan kesedaran dan memupuk pemahaman lebih baik di tengah-tengah ketegangan dan konflik dunia pada masa kini. 

“Seni tidak boleh menghentikan peperangan secara langsung, tetapi boleh menerangi minda,” katanya. 

Sempena pembukaan galeri, satu pameran khas bertajuk Picasso and Lin Xiang Xiong: A Dialogue Across Time diadakan.

Pameran itu meneroka gema artistik antara bahasa modenis Picasso dan perspektif budaya Timur dalam karya Lin yang mengetengahkan tema seperti antiperang, antikemiskinan dan kesedaran alam sekitar selaras dengan misi galeri “Seni untuk Keamanan”.

Selain itu, Forum Seni Peringkat Tinggi Antarabangsa Seni untuk Keamanan turut berlangsung hari ini, yang menghimpunkan pemimpin budaya, diplomatik dan seni terkemuka daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Perancis, Brazil, Jepun, China dan Malaysia.

Terletak di The Light Waterfront di sini, galeri dianggarkan bernilai RM100 juta itu akan menjadi penanda aras keyakinan budaya dan penglibatan seni pada peringkat global di Malaysia. 

Galeri lapan tingkat itu menempatkan lebih 1,000 karya seni dengan lebih 400 dipamerkan sepanjang tahun melalui putaran dinamik naratif visual dan refleksi kemanusiaan.

Kemudahan galeri itu termasuk pusat pendidikan seni, ruang pameran tetap, dewan pameran khas dan bilik persidangan antarabangsa.

Tingkat enam galeri juga berfungsi sebagai platform pameran antarabangsa melibatkan artis terkemuka dan projek dari seluruh dunia, sekali gus meletakkan galeri itu sebagai hab dialog rentas budaya dan inovasi seni.

Selain mempamerkan karya Lin, galeri itu bertujuan memupuk pertukaran seni antarabangsa yang berterusan seperti pameran, forum dan program pendidikan yang membolehkannya berkembang menjadi platform kebudayaan yang terbuka dan pelbagai dalam jangka panjang.

Galeri itu dibuka kepada orang ramai bermula 16 Dis dan beroperasi dari Selasa hingga Ahad dengan tiket boleh dibeli di kaunter manakala sistem dalam talian akan diperkenalkan secara berperingkat. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502591