KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Susulan kejayaan penganjuran sulung tahun lepas, Festival Irama Asli & Asal kembali untuk edisi kedua yang akan berlangsung di Berjaya Times Square di sini, bermula esok hingga 14 Dis ini.
Dianjurkan oleh Yayasan Kesenian Orang Asli & Asal (YKOA) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, festival bertujuan menyerlahkan kekayaan dan kepelbagaian warisan masyarakat peribumi Malaysia melalui persembahan budaya, muzik, bengkel dan pameran kraf.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi YKOA Dr Andre Ratos berkata festival tiga hari itu bermatlamat meningkatkan kesedaran, memupuk penghargaan dan mempromosikan usaha pemeliharaan pengetahuan, adat serta ekspresi kreatif masyarakat peribumi dalam kalangan rakyat Malaysia dan pelawat antarabangsa.
pic-2
“Kaum peribumi kita ialah simbol perpaduan dalam kepelbagaian Malaysia. Budaya, bahasa dan tradisi mereka merupakan antara nadi yang menyatukan kita sebagai satu bangsa. Dengan meraikan mereka, kita meraikan roh sebenar Malaysia,” katanya.
Beliau berkata festival tahun ini juga meneruskan legasi mendiang Datuk Antony Ratos, pengasas YKOA yang menghabiskan puluhan tahun menganjurkan pameran, persembahan budaya dan kem kesihatan luar bandar bagi memelihara serta mengangkat warisan masyarakat peribumi.
“Irama Asli & Asal ialah kesinambungan semula jadi dan evolusi moden misi seumur hidup beliau untuk melindungi dan meraikan identiti masyarakat peribumi Malaysia,” katanya.
pic-3
Edisi 2025 menghimpunkan Orang Asli dari Semenanjung Malaysia serta Orang Asal dari Sabah dan Sarawak, menyediakan platform untuk persembahan tradisional, muzik langsung, bengkel interaktif dan bazar artisan etnik.
“Pengunjung berpeluang merasai pengalaman melukis batik, membuat kalung manik, menganyam tanjak atau penutup kepala, teknik membungkus makanan tradisional serta pelbagai persembahan budaya yang mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.
Festival yang dibuka secara percuma kepada orang ramai ini akan berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, dan maklumat lanjut boleh didapati di laman sosial YKOA di Facebook dan Instagram @ykoa.malaysia.
-- BERNAMA