PUTRAJAYA, 14 Dis (Bernama) -- Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang dilaksanakan secara berfasa dijangka memberikan perlindungan banjir yang lebih menyeluruh kepada kawasan berisiko tinggi di Kelantan apabila siap sepenuhnya kelak.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan projek jangka panjang itu merangkumi tiga fasa utama manakala berdasarkan analisis serta simulasi hidrologi, pelaksanaan lengkap ketiga-tiga fasa berupaya mengurangkan risiko banjir hingga tahap 50 Annual Recurrence Interval (ARI), selaras dengan piawaian perlindungan banjir yang selamat.
“Setakat Disember 2025, Fasa 1 merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 71.3 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2026. Bagi Fasa 2 pula, projek kini pada peringkat perolehan melalui tender terbuka prakelayakan dengan kerja fizikal dijangka bermula pada Februari 2026.
“Sementara itu, Fasa 3 telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 9.2 peratus dan disasarkan siap sepenuhnya April 2029. Setelah ketiga-tiga fasa PLSB disiapkan sepenuhnya, ia dijangka dapat menyediakan perlindungan banjir yang lebih menyeluruh kepada kawasan utama termasuk Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat,” menurut PETRA dalam kenyataan itu.
PETRA memaklumkan, projek berkenaan dilaksanakan secara komprehensif dan berfasa, iaitu menggabungkan langkah sementara dan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan perlindungan berterusan kepada penduduk dan alam sekitar.
Pendekatan itu bertujuan menangani risiko banjir semasa musim monsun, di samping menyediakan penyelesaian struktur yang lebih mampan dalam jangka panjang bagi menghadapi impak perubahan iklim.
Sementara menunggu penyiapan keseluruhan projek jangka panjang, PETRA menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan beberapa langkah mitigasi di kawasan kritikal antaranya kerja-kerja pengorekan Sungai Lanchang Lemal bagi meningkatkan kapasiti sungai dan mengurangkan limpahan di kawasan rendah, khususnya di Tumpat dan Pasir Mas.
Selain itu, turut disediakan prosedur operasi standard Danau To' Uban bagi menyelaras kawalan aras air dan pengurusan takungan semasa kejadian hujan lebat, pemasangan struktur mudah alih tembok penghadang banjir di kawasan berisiko tinggi dan kerja pengorekan muara Sungai Golok yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
PLSB Sungai Golok, menurut PETRA bukan sekadar melibatkan pembinaan benteng semata-mata, sebaliknya merangkumi pengurusan menyeluruh terhadap limpahan sungai utama. Hal ini termasuk pelebaran sungai, pembinaan struktur kawalan aliran serta pelaksanaan langkah mitigasi banjir bersepadu.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan keselamatan rakyat, Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk melaksanakan projek PLSB Sungai Golok mengikut perancangan serta piawaian keselamatan yang ditetapkan.
“Pelaksanaan ini turut melibatkan kerjasama berterusan dengan kerajaan negeri bagi memastikan perlindungan jangka panjang kepada penduduk di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat,” menurut PETRA sambil mengalu-alukan pandangan orang ramai demi memperkukuh keberkesanan penyelesaian isu banjir monsun yang berlaku saban tahun di kawasan terbabit.
-- BERNAMA