JOHOR BAHRU, 14 Dis (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor mengeluarkan dua notis larangan dan arahan penutupan lokasi kejadian kren runtuh di sebuah loji jana kuasa semalam, sehingga siasatan selesai dijalankan.
JKKP Johor memaklumkan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca mengakibatkan dua pekerja maut, manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kren mengangkat arang batu runtuh di kawasan Loji Janakuasa Tanjung Bin dekat Kukup, Pontian, semalam.
Kejadian kira-kira 1 tengah hari itu juga menyebabkan berlaku kebakaran kecil.
"Tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“JKKP memandang serius terhadap setiap kemalangan yang berlaku di tempat kerja sekali gus menasihati majikan agar lebih cakna terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan," menurut JKKP Johor dalam kenyataan hari ini.
JKKP turut mengingatkan majikan supaya menjalankan pentaksiran risiko terhadap setiap aktiviti kerja serta mengambil langkah kawalan bagi menghapuskan atau mengurangkan risiko yang ada.
Dalam kejadian berkenaan, dua pekerja iaitu Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22, maut manakala tiga lagi cedera.
Susulan kejadian itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mahu siasatan rapi, telus dan menyeluruh dijalankan dengan pihak pengurusan loji serta kontraktor terlibat diarahkan memberi kerjasama penuh.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyeru pihak berkuasa berkaitan khususnya JKKP dan polis dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga serta agensi teknikal terlibat mengenal pasti punca kejadian.
-- BERNAMA