AM

Perbincangan Mengenai Kemelut FELDA-Kerajaan Negeri Terengganu Bermula - Exco

06/12/2025 12:21 AM

KUALA TERENGGANU, 5 Dis (Bernama) -- Kerajaan Terengganu telah memulakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan dan pihak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi mencari penyelesaian terbaik isu tanah Felda di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Datuk Dr Azman Ibrahim berkata perbincangan itu dimulakan petang tadi dan akan disambung malam esok.

“Petang tadi sudah ada perbincangan antara kerajaan negeri, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ahli Lembaga Pengarah Felda dan Pengarah Besar Felda. Insya-Allah perbincangan disambung lagi malam esok,” katanya dalam hantaran di Facebooknya malam ini.

Beliau berkata kerajaan negeri memilih jalan damai dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Dalam perbincangan mestilah ada 'give and take'. Saling menghormati bidang kuasa masing-masing. Menilai setiap isu secara adil dan saksama,” katanya.

Bagaimanapun Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Penyelesaian Tanah FELDA berkata Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) yang dikeluarkan sebelum ini masih diteruskan sehingga terdapat penyelesaian terhadap isu tersebut.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa keperluan dan komitmen kewangan berkaitan isu tanah Felda di Terengganu telah pun dilunaskan oleh kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Beliau berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Datuk Johan Mahmood Merican) telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri untuk memastikan apa yang telah kerajaan Persekutuan lunaskan.

Pada Ahad lepas, kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan FELDA di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu, selepas mendakwa selama lebih 40 tahun tanah berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan.

Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.

-- BERNAMA


 
 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499398