KANGAR, 15 Dis (Bernama) -- Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian seorang lelaki berusia 24 tahun pada 25 Nov lepas.
Muhammad Zulhairi Shunazar Abdul Shukor, 38, yang bertugas di Balai Polis Kuala Perlis dekat sini mohon dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Dia didakwa memandu sebuah kenderaan nombor pendaftaran VDU 3307 secara berbahaya yang menyebabkan kemalangan dengan sebuah motosikal nombor pendaftaran PLW 366 dan menyebabkan kematian penunggang motosikal, iaitu Muhammad Firdaus Aiman Zainon.
Anggota polis berkenaan dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Persiaran Wawasan, berhadapan dengan Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini pada 10.20 malam, 25 Nov lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 dan boleh dipenjara maksimum 10 tahun sekiranya sabit kesalahan.
Majistret Nurul Natasha membenarkan Muhammad Zulhairi Shunazar diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu digantung sehingga kes berkenaan selesai.
Sementara itu, dalam mahkamah sama, anggota polis berkenaan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu kenderaan sama tanpa kecermatan sepatutnya yang menyebabkan kemalangan dengan sebuah lagi motosikal nombor pendaftaran RAA 365 sehingga menyebabkan kecederaan parah penunggang motosikal, iaitu Aliff Noorhakim Alijesree, 25, di lokasi, masa dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan itu, Muhammad Zulhairi Shunazar selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau boleh dipenjara maksimum 12 bulan jika sabit kesalahan.
Majistret Nurul Natasha membenarkan Muhammad Zulhairi Shunazar diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah berkenaan juga menetapkan 28 Jan 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen berkaitan bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar Inspektor S. Mageswaran manakala anggota polis itu diwakil Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Hasnor Arysha Hamdan.
-- BERNAMA