JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Minta Waris Tampil Tuntut Mayat Mangsa Bot Karam Di Langkawi

15/12/2025 04:19 PM

ALOR SETAR, 15 Dis (Bernama) -- Polis meminta waris atau mana-mana individu yang mengenali pendatang tanpa izin yang maut dalam insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand pada November lepas untuk tampil menuntut mayat mangsa.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata individu berkenaan boleh datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan berjumpa dengan pegawai penyiasat kes tersebut.

“Pada 8 Nov lepas, polis menerima maklumat berhubung insiden bot karam yang melibatkan lebih kurang 100 mangsa kesemuanya dipercayai berasal dari Myanmar (etnik Rohingya). Sebanyak 14 mangsa selamat manakala 30 lagi meninggal dunia.

“Ada beberapa identiti yang berjaya dikenal pasti, namun belum dapat disahkan. Jadi, kita minta waris atau orang awam yang mengenali mangsa berjumpa pegawai penyiasat dan buat ujian pengesanan asid deoksiribonukleik (DNA) dan menuntut mayat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut boleh hubungi pegawai penyiasat Insp Nor Amin Nordin atau SM Mohd Shahril Mohd Isnin melalui talian 04-9666222.

Pada November lepas, sebuah bot yang dipercayai membawa pendatang tanpa izin karam dan beberapa mayat telah ditemukan sepanjang sembilan hari operasi mencari dan menyelamat yang meliputi kawasan pencarian seluas 1,745.88 batu nautika persegi.

Operasi diaktifkan bermula 9 Nov lepas setelah Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima laporan penemuan mangsa pertama di perairan Langkawi sehari sebelum itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502929