MELAKA, 15 Dis (Bernama) -- Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengeluarkan 679 kompaun atas pelbagai kesalahan, terutama berkaitan isu kebersihan melibatkan premis perniagaan makanan sepanjang tempoh Januari hingga 5 Nov tahun ini.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata tindakan itu diambil di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred MPHTJ 2010 susulan kegagalan peniaga mematuhi syarat lesen ditetapkan walaupun peringatan serta garis panduan kebersihan diberikan semasa proses pembaharuan lesen dan pemeriksaan di premis.
“Penguatkuasaan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan nasihat lisan, diikuti notis amaran sebelum kompaun dikeluarkan sekiranya kegagalan berterusan oleh peniaga.
“Nilai kompaun boleh mencecah sehingga RM1,000 dan bagi kesalahan berulang, MPHTJ boleh menahan pembaharuan lesen dalam tempoh tertentu atau menarik balik lesen sekiranya peniaga terus ingkar,” katanya.
Sapiah berkata antara syarat utama yang perlu dipatuhi termasuk memastikan kebersihan premis sentiasa terjaga, penyediaan perangkap minyak bagi rumah kedai serta pelaksanaan kawalan perosak seperti lipas dan tikus.
Beliau berkata kegagalan mematuhi syarat berkenaan bukan sahaja menjejaskan tahap keselamatan dan kesihatan awam, malah memberi kesan terhadap imej Melaka sebagai destinasi pelancongan, khususnya sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 pada tahun depan.
“MPHTJ akan terus memperketat penguatkuasaan terhadap pelesenan dan tahap kebersihan premis jualan makanan, khususnya kedai makan dan restoran bagi memastikan persekitaran perniagaan yang bersih dan selamat untuk orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Sapiah berkata secara keseluruhan MPHTJ mengeluarkan 3,058 kompaun atas pelbagai kesalahan dalam tempoh sama, dengan 2,024 kompaun melibatkan pelanggaran di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) termasuk pengubahsuaian tanpa kebenaran serta menutup longkang awam tanpa kelulusan.
-- BERNAMA