KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Peruntukan Deeming ke atas semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia merupakan langkah perlu untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, khususnya bagi melindungi kanak-kanak.
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata pelaksanaan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa sebaliknya antara langkah penting untuk menutup jurang kawal selia yang telah lama wujud.
Beliau berkata peruntukan berkenaan menetapkan penyedia pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang lesen dan tertakluk kepada kerangka kawal selia sedia ada bermula 1 Jan 2026, melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Saya menyokong dan mengalu-alukan langkah penting ini yang menuntut akauntabiliti para penyedia pesanan Internet dan media sosial. Hakikatnya, media sosial mempunyai pengaruh yang sangat besar di Malaysia.
“Mereka mempunyai jutaan pengguna tempatan, memainkan peranan utama dalam pembentukan wacana awam dan menjana pendapatan daripada pasaran Malaysia. Namun, dari sudut tanggungjawab undang-undang dan keselamatan pengguna, penyedia pesanan Internet dan media sosial masih berada pada tahap tidak memuaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
Menurut MCMC, peruntukan itu akan dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Syahredzan berkata matlamat utama langkah MCMC itu adalah untuk menjamin perlindungan undang-undang keselamatan dalam talian termasuk menangani penipuan siber, eksploitasi kanak-kanak, penyebaran kandungan berbahaya dan berita palsu.
Beliau berkata pelaksanaan Peruntukan Deeming juga bertujuan memastikan jalinan kerjasama yang lebih berkesan antara pihak berkuasa dengan penyedia pesanan Internet dan media sosial selain langkah berkenaan selari dengan rancangan kerajaan mengehadkan akses media sosial bagi kanak-kanak.
“Dalam konteks ini, adalah penting difahami pelaksanaan Peruntukan Deeming bukan bertujuan menyekat media sosial. Sebaliknya, usaha untuk memastikan pemain industri digital yang besar memikul tanggungjawab setimpal dengan pengaruh dan manfaat mereka peroleh daripada pasaran Malaysia.
“Sudah tentu, pelaksanaan mesti dibuat dengan cermat. MCMC perlu terus melibatkan pihak berkepentingan, memastikan ketelusan dan menggunakan kuasa kawal selia secara berhemah serta berpandukan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata dalam melaksanakan peruntukan berkenaan, aspek mekanisme rayuan dan semak imbang juga harus diperkasakan memandangkan terdapat ruang kuasa yang boleh disalah guna oleh pemerintah tidak bertanggungjawab pada masa hadapan.
“Saya yakin bahawa Kerajaan MADANI sentiasa konsisten dengan mengiktiraf kepentingan inovasi, ekonomi digital dan kebebasan bersuara, tetapi pada masa yang sama, soal keselamatan pengguna dan kepentingan awam tetap tidak boleh dikompromi. Kita perlukan satu titik keseimbangan demi masa hadapan kita dan anak-anak kita,” katanya.
Turut senada, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman yang menyifatkan pelaksanaan peruntukan tersebut sebagai langkah progresif bagi memastikan kebertanggungjawaban platform media sosial untuk memastikan kandungan yang beretika dan selamat khususnya bagi kanak-kanak.
“Saya mendukung penuh pelaksanaan Peruntukan Deeming terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berkuatkuasa pada 1 Jan 2026.
“Sudah tentu, ini juga akan memudahkan kerajaan mengawal selia platform ini untuk memastikan mereka mematuhi larangan akaun media sosial terhadap kanak-kanak bawah 16 tahun yang akan dilaksanakan kelak,” katanya dalam hantaran di Facebook.
-- BERNAMA