EKONOMI

Khazanah Nasional Sempurnakan Pemuliharaan Seri Negara

15/12/2025 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Khazanah Nasional menyempurnakan pemuliharaan Seri Negara, satu daripada bangunan paling bersejarah negara apabila Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 ditandatangani iaitu detik penting menuju kemerdekaan Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyaksikan pembukaan rasmi bangunan tersebut selepas pemuliharaan selama 10 bulan yang diterajui Khazanah Nasional sebagai sebahagian daripada program Dana Warisan.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata pemuliharaan ini dilaksanakan selepas kerajaan memberi amanah yang besar bagi memulihara tapak berkenaan.

“Pemuliharaan Seri Negara merupakan satu tanggungjawab dan keistimewaan yang besar bagi Khazanah Nasional dengan matlamat bukan sahaja untuk memulihkan bangunan tersebut tetapi juga menghidupkan semula semangat dan kisah yang membentuk perjalanan sejarah negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah inisiatif nasional Warisan KL, Khazanah Nasional diamanahkan untuk memelihara dan memperbaharui lapan bangunan bersejarah Malaysia yang penting termasuk Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa.

Inisiatif ini juga merangkumi kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad yang terdiri daripada Bangunan Sultan Abdul Samad, Pejabat Pos Lama, bekas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Panggung Bandaraya, Pejabat Ukur FMS yang lama dan Muzium Tekstil Negara.

Selain itu, jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Seri Negara dan Carcosa ke Taman Botani Perdana Kuala Lumpur juga akan dibina.

Khazanah Nasional memperuntukkan RM600 juta bagi melaksanakan inisiatif ini.

Amirul Feisal menambah pelaburan ini sejajar dengan strategi domestik Khazanah Nasional yang bertujuan memperkukuh ketersambungan dan memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab ekonomi dan budaya yang dinamik.

"Sektor pelancongan berupaya menjana kesan pengganda lebih dua kali ganda dalam merangsang ekonomi tempatan. Seri Negara hanyalah titik permulaan," katanya.

Beliau berkata, Khazanah Nasional akan terus bekerjasama rapat bersama agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan rakan strategik untuk menghidupkan semula bangunan-bangunan yang dipulihara ini sebagai ruang budaya awam, perantaraan pendidikan dan simbol kebangsaan untuk generasi akan datang.

Katanya, kerja pemuliharaan Seri Negara yang dilaksanakan dalam tempoh 10 bulan mengekalkan ciri-ciri asal seni bina bangunan tersebut di samping meningkatkan aspek keselamatan, kebolehcapaian dan kemudahan awam.

"Seri Negara akan menempatkan Galeri Seri Negara yang meraikan perjalanan negara menuju kemerdekaan dan bertujuan mendidik orang ramai mengenai tempoh bermakna dalam sejarah Malaysia.

"Turut disediakan kafe dan restoran yang dikendalikan oleh Serai Group dengan menawarkan pengalaman menjamu selera yang bernostalgia, mencerminkan keindahan warisan Seri Negara di samping meraikan kepelbagaian hidangan terbaik Malaysia," katanya.

Kata Khazanah Nasional, Semuka Cafe kini dibuka kepada orang awam manakala Serai House akan dibuka secara tempahan sahaja buat sementara waktu.

Pendaftaran boleh dibuat melalui www.serinegara.com.my dan pengunjung boleh memilih slot masa yang diingini.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502946