DUNIA

PM Australia Beri Isyarat "undang-undang Senjata Api Lebih Ketat" Susulan Insiden Tembakan Di Sydney

15/12/2025 05:42 PM

ISTANBUL, 15 Dis (Bernama-Anadolu) -- Berikutan insiden tembakan yang meragut banyak nyawa di Sydney, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata pada Isnin beliau akan membincangkan "undang-undang senjata api lebih ketat" dalam Mesyuarat Kabinet negara tengah hari ini, lapor Anadolu Ajansi.

Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh, termasuk 15 mangsa dan seorang penyerang, manakala 42 lagi masih dirawat di hospital susulan kejadian tembakan di Bondi Beach pada Ahad.

Terdahulu, polis Australia berkata dua suspek penembak dalam kejadian itu merupakan bapa dan anak lelaki, dan penyiasat tidak mencari sebarang suspek tambahan.

Bapa berkenaan maut di tempat kejadian, manakala anak lelakinya masih dalam keadaan kritikal tetapi stabil di hospital.

Kerajaan Australia "bersedia mengambil sebarang tindakan yang perlu. Termasuk dalam hal itu adalah keperluan undang-undang senjata api lebih ketat," kata Albanese dalam satu sidang media.

Agenda mengenai undang-undang senjata api lebih ketat itu akan merangkumi had ke atas bilangan senjata api yang boleh digunakan atau dilesenkan oleh individu serta semakan lesen dalam tempoh tertentu, katanya.

"Lesen tidak sepatutnya bersifat kekal, dan semakan, sudah tentu, memastikan semak dan imbang berkenaan dilaksanakan," katanya.

Premier New South Wales Chris Minns juga berkata undang-undang senjata api perlu diubah bagi memastikan serangan malam tadi tidak berulang.

"Ia memerlukan perundangan. Ia bermaksud memperkenalkan rang undang-undang ke Parlimen, menyukarkan untuk mendapatkan senjata mengerikan ini yang tiada kegunaan praktikal dalam komuniti kita," katanya dalam satu sidang media, menurut Perbadanan Penyiaran Australia.

Serangan itu dikecam dengan meluas oleh komuniti antarabangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502987