KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dibentang di Dewan Rakyat tahun depan, bagi memperjelas perbezaan antara pemberi maklumat tulen dan penjenayah yang cuba berselindung di sebalik undang-undang berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pindaan itu penting bagi menutup sebarang kelompongan yang boleh disalahgunakan, khususnya oleh perasuah atau penjenayah tegar yang mendakwa bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Namun, Anwar berkata perlindungan itu tidak wajar diberikan secara membuta tuli sehingga menjadikan penjenayah atau perasuah diangkat sebagai ‘wira’ semata-mata kerana mereka membuat pendedahan selepas melakukan kesalahan serius.
"Pemberi maklumat perlu dibezakan dengan jelas daripada penyamun atau perasuah tegar yang cuba bersembunyi atas nama whistleblower (pemberi maklumat). Ini dua perkara yang mesti dibezakan dengan jelas," katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara pagi ini.
Perdana Menteri menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali mengenai langkah kerajaan dalam memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Anwar berkata prinsip “tiada siapa kebal di sisi undang-undang” akan terus diterapkan tanpa kompromi, termasuk terhadap individu berpengaruh atau berkedudukan tinggi, sambil mengakui wujud budaya dalam kalangan sesetengah pihak cenderung membela individu yang mengaku terlibat dalam rasuah atas alasan kononnya memberi pendedahan.
Selain itu, beliau berkata perlindungan terhadap pemberi maklumat kekal terjamin termasuk aspek keselamatan diri serta keluarga mereka, selaras dengan prinsip menggalakkan budaya berani melapor dalam kalangan warga penguatkuasaan dan masyarakat.
“Melindungi pemberi maklumat ini bukan sahaja bermakna mereka tidak diambil tindakan, tetapi juga keselamatan mereka dan keluarga mereka dikawal supaya tidak dizalimi oleh penjenayah,” kata beliau.
Menurut Anwar, menteri yang dipertanggungjawabkan sedang meneliti perkara berkenaan dan kerajaan bersedia membentangkan pindaan akta itu pada awal tahun depan bagi menetapkan definisi, kaedah dan mekanisme lebih jelas supaya perlindungan pemberi maklumat tidak terus disalahgunakan dan kekal berfungsi sebagai instrumen penting memperkukuh integriti negara.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata integriti merupakan asas utama keberkesanan penguatkuasaan undang-undang dan tanpa prinsip itu, kejayaan kerajaan mencapai nilai rampasan, lucut hak serta kutipan penalti berjumlah RM15.5 bilion tidak mungkin dapat direalisasikan.
"Ini kali pertama dalam sejarah negara dan memberi gambaran bahawa sebelum ini nampak ada kelonggaran, ada kelompongan. Mana mungkin dalam satu negara kita mampu mengutip RM15.5 bilion daripada ketirisan, rasuah, penyeludupan dan lain-lain," kata beliau.
Perdana Menteri berkata daripada jumlah itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan nilai lucut hak melebihi RM8 bilion, PDRM hampir RM4 bilion, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) lebih RM2.5 bilion, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mencatat rampasan dan kutipan penalti berjumlah RM1 bilion.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan oleh agensi berkaitan, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meskipun kerajaan mengakui masih terdapat kelemahan perlu diperbaiki.
Mengulas persepsi negatif terhadap agensi penguatkuasaan khususnya PDRM, Anwar berkata adalah tidak adil untuk menilai secara menyeluruh sedangkan pasukan itu telah menunjukkan keupayaan melalui tindakan berasaskan integriti dalam memerangi jenayah dan penyeludupan.
-- BERNAMA