PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Industri pelancongan Sabah mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus dengan nilai RM13.7 bilion pada 2024, sekali gus menyumbang 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berbanding 11.7 peratus pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Akaun Satelit Pelancongan Wilayah (ASPW) Sabah 2024 diterbitkan hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata sektor pelancongan Sabah didorong oleh aktiviti perdagangan runcit yang meningkat 3.2 peratus, diikuti perkhidmatan penginapan dan penyediaan makanan dan minuman yang meningkat 3.5 peratus.
Selain itu, beliau berkata perkhidmatan pengangkutan dan jualan runcit bahan api kenderaan merekodkan pertumbuhan sembilan peratus manakala agensi pengembaraan dan penempahan lain, perkhidmatan kebudayaan, sukan dan rekreasi serta perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara turut berkembang 5.9 peratus pada 2024.
Dari segi sumbangan kepada ekonomi pelancongan Sabah, Mohd Uzir berkata perdagangan runcit kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 47.3 peratus diikuti perkhidmatan penginapan serta penyediaan makanan dan minuman 29.7 peratus.
Beliau berkata agensi pengembaraan dan perkhidmatan berkaitan kebudayaan, sukan serta rekreasi menyumbang 13.5 peratus manakala perkhidmatan pengangkutan penumpang dan jualan runcit bahan api kenderaan mencatat sumbangan 9.5 peratus.
“Penggunaan pelancongan internal di Sabah meningkat 46.5 peratus atau RM12.1 bilion pada 2024 berbanding RM8.2 bilion pada tahun sebelumnya, disokong oleh perbelanjaan pelancongan inbound,” katanya.
Mohd Uzir berkata perbelanjaan pelancongan inbound menyumbang 51.1 peratus pada 2024 berbanding 50.9 peratus pada tahun sebelumnya manakala perbelanjaan pelancongan domestik mencatat 48.9 peratus berbanding 49.1 peratus.
Beliau berkata perbelanjaan pelancongan inbound meningkat kepada RM6.2 bilion dipacu oleh pertumbuhan kukuh perkhidmatan pengangkutan penumpang serta jualan runcit bahan api kenderaan yang meningkat 64.5 peratus.
Menurut Mohd Uzir, perbelanjaan oleh pelancong antarabangsa menyumbang 49.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pelancongan inbound sejajar dengan peningkatan rangkaian penerbangan terus ke Kota Kinabalu dari Korea Selatan, China dan Brunei.
“Ketibaan dari Semenanjung menyumbang 40.6 peratus dan Sarawak menyumbang 10.3 peratus,” katanya.
Bagi perbelanjaan pelancongan domestik, Mohd Uzir berkata ia mencatat pertumbuhan kukuh 45.9 peratus pada 2024, terutama disumbangkan oleh aktiviti membeli-belah 43.8 peratus dan perkhidmatan pengangkutan serta jualan runcit bahan api kenderaan 18.2 peratus.
“Destinasi utama pelancong domestik termasuk Kota Kinabalu, Kundasang, Semporna dan Tawau. Dari segi sumbangan, aktiviti membeli-belah kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 43.8 peratus, diikuti oleh perkhidmatan penginapan dan penyediaan makanan dan minuman 31.6 peratus,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata guna tenaga dalam industri pelancongan Sabah meningkat kepada 387,600 orang pada 2024 berbanding 362,700 orang pada tahun sebelumnya, dengan pertumbuhan 6.9 peratus.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh perdagangan runcit 8.3 peratus, diikuti oleh perkhidmatan penginapan dan penyediaan makanan dan minuman 5.6 peratus.
“Dari segi sumbangan, guna tenaga dalam industri pelancongan Sabah didominasi oleh perdagangan runcit dengan sumbangan 44.5 peratus manakala perkhidmatan penginapan dan penyediaan makanan dan minuman menyumbang 41.6 peratus pada 2024,” katanya.
-- BERNAMA