JENAYAH & MAHKAMAH

Koloni Afrika Diserbu, 90 Warga Asing Ditahan

16/12/2025 03:01 PM

PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Sebanyak 90 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi penguatkuasaan di kawasan tumpuan warga Afrika berkumpul di sekitar Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata serbuan itu dijalankan berikutan aduan awam dan risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya.

Beliau berkata pasukan operasi dengan kekuatan 99 pegawai pelbagai pangkat telah diatur gerak ke lokasi dipercayai dijadikan tempat berkumpul dan membuat kacau sehingga menimbulkan kegusaran penduduk setempat.

"Sebanyak 131 individu terdiri daripada 82 lelaki dan 34 wanita warga asing serta 15 warga tempatan telah diperiksa dalam operasi ini.

"Hasilnya, sebanyak 90 individu berumur 21 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita warga Nigeria, empat lelaki warga Yemen, dua lelaki warga Syria, satu lelaki warga Somalia, dua lelaki warga Guinea-Bissau, tujuh lelaki dan lima wanita warga Sierra Leone.

Turut ditahan empat lelaki dan enam wanita warga Liberia, satu lelaki warga Mali, empat lelaki dan 10 wanita warga Indonesia, 12 lelaki dan dua wanita warga Myanmar, sembilan lelaki warga Bangladesh, satu wanita warga Vietnam, soerang wanita warga Thailand, empat lelaki warga Pakistan, tiga lelaki warga Sri Lanka dan lima lelaki warga India.

Zakaria berkata antara kesalahan dikenal pasti ialah tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Per 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

"JIM turut mengeluarkan satu saman kepada saksi (Borang 29) terhadap pemilik restoran di lokasi tersebut," katanya.

Zakaria berkata modus operandi mereka adalah berselindung di sebalik pas yang telah tamat tempoh dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan terbuka seperti kawasan parkir kereta dan di kawasan tumpuan seperti kedai makan dan restoran, seterusnya menjadikan tempat tersebut untuk berhibur hingga lewat malam.

Kesemua warga asing terbabit ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan serta tindakan lanjut. 

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503282