POLITIK

PRK Kinabatangan-Lamag: UMNO Sabah Bincang Dengan Parti Dalam Kerajaan Negeri

16/12/2025 05:25 PM

KOTA KINABALU, 16 Dis (Bernama) -- UMNO Sabah mahu mengadakan rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang akan diadakan pada bulan hadapan. 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata perbincangan itu penting memandangkan UMNO adalah sebahagian daripada parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah bersama-sama dengan GRS. 

Beliau berkata parti itu melihat keperluan untuk mencapai kesepakatan bersama Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah sebelum memuktamadkan strategi PRK berkenaan.

“Saya juga terpanggil untuk memaklumkan bahawa memang perlu untuk kita berbincang dengan pimpinan Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah untuk sama-sama mencari jalan dan solusi tentang PRK DUN Lamag dan Kinabatangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata UMNO Sabah kini menunggu maklum balas daripada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS berhubung cadangan rundingan itu.

Mengulas persiapan parti bagi menghadapi PRK berkenaan, Jafry berkata gerak kerja awal telah digerakkan awal termasuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa bahagian serta sesi libat urus bersama kepimpinan akar umbi di Lamag, Kuamut dan Sukau.

“Alhamdulillah kita telah pun mendapat komitmen daripada peringkat akar umbi untuk meneruskan kerja-kerja memastikan kerusi Parlimen Kinabatangan dan juga DUN Lamag ini mendapat kemenangan sekiranya diberikan ruang dan peluang untuk kami,” katanya.

UMNO Sabah secara prinsip melihat Barisan Nasional (BN) wajar mempertahankan kedua-dua kerusi berdasarkan sejarah dan rekod penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Mengenai calon, Jafry berkata UMNO Bahagian Kinabatangan sudah mengumpulkan pandangan akar umbi dan menyediakan beberapa nama berpotensi.

“Bahagian Kinabatangan telah mendengar rintihan, pandangan daripada peringkat akar umbi dan telah siap sedia menamakan beberapa muka-muka baharu dan mungkin juga anak kepada Allahyarham. Tetapi itu terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memutuskannya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag masing-masing pada 24 Jan 2026, manakala penamaan calon pada 10 Jan dan pengundian awal pada 20 Jan.

PRK itu perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar, pada 5 Dis lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503350