SERDANG, 16 Dis (Bernama) -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan pengumuman Kabinet baharu hari ini, sebagai pasukan kukuh untuk melaksanakan agenda perubahan yang telah dirangka secara menyeluruh dan berkesan.
Beliau berkata gabungan yang melibatkan senior dan junior, veteran serta anak muda itu membolehkan Kabinet baharu itu bekerja sebagai satu pasukan yang mantap.
"Ia seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri, iaitu Kabinet bekerja. Beliau ingin memastikan supaya gabungan semua dapat dilaksanakan, sama ada senior dan junior, veteran dan muda.
"Jadi dapat kita letakkan dalam satu team yang baik untuk memastikan supaya agenda MADANI itu dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya," katanya ketika diminta memberikan reaksi mengenai barisan Jemaah Menteri baharu, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian dan Training of Trainers (ToT) Perdana Kursus Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU), di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Zambry turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan kepada beliau terus mengemudi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Perdana Menteri mahukan untuk saya meneruskan agenda-agenda yang telah pun kita susun. Kita telah pun menyiapkan Pelan Pendidikan Tinggi Negara untuk 10 tahun yang akan datang dan insya-Allah akan dibentangkan dan dilancarkan Perdana Menteri," katanya.
Antara agenda terbesar dalam pendidikan tinggi ketika ini ialah pengukuhan MPU sebagai asas pembentukan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi, selari keperluan melahirkan graduan berjati diri, berilmu dan berdaya saing.
"Beberapa perubahan akta yang akan kita laksanakan termasuk juga dalam Akta Politeknik yang sedia ada," katanya.
Selain itu, Zambry berkata beberapa inisiatif lain juga akan diumumkan, termasuk kesinambungan Festival of Ideas (FOI) yang memerlukan perancangan rapi serta pelaksanaan berfasa bagi memperkukuh ekosistem pemikiran dan wacana intelektual negara.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada timbalannya Datuk Mustapha Sakmud atas khidmat beliau sebelum ini, yang kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi urusan Sabah dan Sarawak.
Pada masa yang sama, Zambry turut mengalu-alukan pelantikan Adam Adli Abdul Halim sebagai timbalannya yang baharu.
Beliau yakin pengalaman serta latar belakang aktivisme Adam mampu menyumbang kepada penggubalan dasar yang lebih inklusif dan progresif.
"Saya yakin beliau dapat bekerja dengan saya dalam satu kombinasi yang baik dengan matlamat utama memastikan sistem pendidikan tinggi negara kita dapat berjalan dengan sebaik-baiknya," katanya.
-- BERNAMA