SUKAN

FAM Ucap Tahniah Kepada Dr Mohammed Taufiq, Hargai Sumbangan Hannah

16/12/2025 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengucapkan tahniah kepada Dr Mohammed Taufiq Johari atas pelantikan sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam Kabinet Kerajaan MADANI yang baharu seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi bersama-sama ahli jawatankuasa eksekutif dan petugas FAM turut merakamkan penghargaan kepada Hannah Yeoh atas khidmat beliau memimpin Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak Disember 2022.

FAM dalam kenyataan juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Hannah untuk peranan baharu beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Dr Mohammed Taufiq, 29, ialah seorang ahli politik dan doktor perubatan yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani sejak November 2022. 

Beliau merupakan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Ketua Cabang Sungai Petani dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah parti komponen dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503522