AM

PVISB, JKP Jalin Usaha Sama Bangunkan Kampung Bagan Serai Selepas 20 Tahun Tertangguh

16/12/2025 09:54 PM

TASEK GELUGOR, 16 Dis (Bernama) -- Projek pembangunan Kampung Bagan Serai di Permatang Pauh yang tertangguh hampir 20 tahun bakal selesai tidak lama lagi susulan pemeteraian perjanjian usaha sama antara PERDA Ventures Corporated Sdn Bhd (PVISB), anak syarikat penuh milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dengan JKP Sdn Bhd.

Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata perjanjian itu membolehkan tanah seluas 5.5 hektar itu dibangunkan dengan fokus menyiapkan 117 unit rumah pangsa kos rendah bagi penempatan semula penduduk asal Kampung Bagan Serai yang telah lama menantikan projek itu sejak pengambilalihan tanah dibuat pada 2008.

“Beberapa masalah teknikal berlaku selepas tanah itu diambil alih yang menyebabkan JKP selaku agensi pelaksana tidak dapat memulakan projek berkenaan tetapi hari ini, segalanya bakal direalisasikan dan kita akan bekerjasama dengan JKP selaku rakan strategik untuk membangunkan projek ini.

“Meskipun projek ini tertangguh lama, penduduk tidak pernah diabaikan malah sehingga kini kesemua 117 masih mendapat bayaran sewa rumah setiap bulan dan selepas ini pun mereka akan tetap menerima pampasan yang akan dibayar PERDA sehingga projek selesai,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian itu di sini hari ini.

Dalam majlis itu, PVISB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Noorkhaizan Mohd Noor manakala Ketua Pegawai Eksekutif Farizul Arif Abd Mutalib mewakili JKP Sdn Bhd dengan majlis turut disaksikan Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah JKP Sdn Bhd Tan Sri Khalid Ramli.

Shaik Hussein berkata pihaknya dijangka menghantar permohonan pelan pembangunan projek itu menjelang Jun tahun depan untuk kelulusan dengan fasa pertama membabitkan perumahan penduduk dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

“Kita hanya memerlukan sekitar 0.8 hingga 1.2 hektar untuk fasa pertama dengan setiap unit berkenaan berkeluasan 750 kaki persegi dan berharga RM42,000.

“Selepas penempatan semula penduduk siap dan diserahkan, kita akan memulakan projek seterusnya di kawasan itu dengan cadangan pembangunan unit komersial dan pembinaan 299 unit pangsapuri kos sederhana,” katanya.

Sementara itu, Khalid berterima kasih kepada PERDA khususnya PVISB kerana bersetuju untuk menjayakan projek berkenaan selepas ia tertangguh sekian lama.

“Kita tidak bermaksud untuk melengahkan projek ini dahulu tetapi ada sebab-sebab tertentu menyebabkan ia tertangguh tetapi hari ini kerjasama dengan PERDA lebih mudah kerana kedua-duanya adalah agensi kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503546