RENCANA

RASUAH: Di Sebalik Langkah Proaktif, Mengapa Masih Berleluasa?

17/12/2025 02:18 PM
Daripada Nurqalby Mohd Reda & Balkish Awang

Di sebalik tindakan proaktif kerajaan selama bertahun-tahun untuk membanteras rasuah, aktiviti ini dilihat tetap berleluasa. Laporan berita tangkapan, pendakwaan di mahkamah serta pendedahan tentang penyelewengan termasuk salah guna kuasa melibatkan penjawat awam khususnya terus menghiasi media.

Laporan bersiri tiga bahagian ini akan mengupas isu rasuah di negara ini secara mendalam termasuk usaha yang diambil oleh kerajaan dan pihak berkuasa serta pandangan pakar tentang penambahbaikan yang boleh dilakukan.

 

Melihat pada laporan media yang memetik pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),  dapat dirumuskan isu rasuah masih membarah di negara ini, terutama dalam sektor awam.

Jika dulu gaji kecil, terutama dalam kalangan penguat kuasa undang-undang, dikatakan punca aktiviti rasuah, namun kini masing-masing telah dan bakal menikmati kenaikan gaji dengan kadar keseluruhan hingga 15 peratus - juga yang tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam setakat ini - atas keprihatinan Kerajaan MADANI. 

Justeru, apa lagi penjawat awam mahu?

 

INDEKS PERSEPSI RASUAH (CPI)

Mengimbas kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tempoh 10 tahun lepas,  kedudukan terbaik Malaysia ialah di tangga ke-51 dengan  53 mata pada 2018, manakala terburuk di tempat ke-62 (48 mata) pada 2017 dan 2021.

Terkini, negara tidak berganjak di kedudukan ke-57 (50 mata) selama dua tahun berturut-turut sejak 2023. 

(CPI merupakan penarafan tahunan oleh Transparency International yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di 180 buah negara dan wilayah di seluruh dunia dengan skor sifar paling tinggi rasuah hingga 100 mata sebagai amat bersih.)

Di sebalik turun naik kedudukan, Malaysia bermatlamat mencapai kedudukan 25 negara terbaik dunia menjelang 2033 yang memerlukan skor  68 hingga 70 mata.

Dalam usaha ke arah itu, kerajaan menerusi SPRM melaksanakan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dengan penumpuan pada peningkatan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban merentasi pelbagai sektor di Malaysia termasuk politik, pentadbiran awam, perolehan kerajaan, penguatkuasaan undang-undang, institusi perundangan dan kehakiman, sektor swasta serta orang ramai.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.--fotoBERNAMA

NACS menggabungkan lima strategi dan 60 substrategi untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula 2024 hingga 2028.

 

TANGKAPAN, PENDAKWAAN, KERUGIAN

Rasuah menurut SPRM ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. 

Suapan itu terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun. Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan.

Bentuk kesalahan rasuah itu pula termasuk meminta dan menerima suapan, membuat tuntutan palsu, salah guna kuasa serta menawar dan memberi suapan.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, negara mencatatkan kerugian sekitar RM277 bilion dalam tempoh lima tahun sejak 2018 akibat rasuah. 

Satu jumlah yang bukan “kecil-kecil anak”.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM Mohamad Tarmize Abdul Manaf menerusi portal SPRM, dipetik berkata seramai 2,163 penjawat awam ditangkap kerana pelbagai kesalahan rasuah dalam tempoh 2019 hingga 2023. Jumlah itu mewakili 43.3 peratus daripada keseluruhan tangkapan iaitu 4,996 individu dalam tempoh yang sama.

''Hampir setiap hari ada sahaja penjawat awam ditangkap kerana rasuah. Akal seakan tidak percaya dengan tindakan khianat yang dilakukan. Setiap kali berlaku tangkapan, soalan- soalan berikut pasti bermain-main di bibir masyarakat.

“Adakah mereka yang terlibat ini tidak takut dengan undang-undang? Bagaimana perbuatan mereka ini tidak diketahui oleh penyelia atau ketua jabatan? Adakah ketua mereka juga terlibat?,'' katanya. Semakin ramai yang ditangkap semakin rakyat mempertikaikan tahap integriti dan moral penjawat awam di negara ini.

 

PERSEPSI MASYARAKAT

Bagi melihat sendiri persepsi masyarakat terhadap penjawat awam dan rasuah, Bernama turun ke jalan dan menemu bual orang ramai.

Usahawan ternak yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Fairuz mengakui pernah melihat sendiri “episod kurang menyenangkan”  semasa berurusan tentang tender membekalkan daging dan haiwan ternakan.

"Pada pendapat saya yang pernah juga terlibat dalam isu-isu tender berkaitan ternakan ini, saya lihat sangat-sangat tidak okey, terutamanya mereka yang ada ‘kabel’. 


Menerusi statistik SPRM dari tahun 2019 hingga 2023, seramai 2,163 penjawat awam ditangkap kerana pelbagai kesalahan rasuah.--fotoBERNAMA

"Dalam soal urus niaga, selagi ada istilah budi bicara dengan memberi hadiah dan buah tangan, maka rasuah akan terus berlaku,” katanya, menambah hukuman lebih berat harus dikenakan kepada pemberi dan penerima habuan. 

"Selain itu, pihak berkuasa hendaklah menyita semua aset jika terbukti individu itu terlibat rasuah dan media juga memainkan peranan untuk turut memperhebat kesedaran rasuah ini," katanya.  

Bagi Faiz, seorang peniaga jalanan, sekalipun tidak pernah melihat sendiri perbuatan rasuah, dia banyak mendengar kisah-kisah sedemikian daripada rakan-rakan peniaga lain, terutamanya melibatkan penguat kuasa.

"Siapa lagi mahu kita percaya jika mereka yang memakai uniform (penguat kuasa undang-undang)  pun turut terbabit sama (rasuah) sedangkan golongan ini antara yang kita hormati dan kagumi untuk memberi khidmat setia kepada negara. 

"Malangnya mereka juga kecundang apabila disogokkan dengan pelbagai rasuah, tidak kira dalam bentuk kecil atau besar," katanya.

Anak muda ini juga tidak betah mendengar perlakuan salah guna kuasa dalam kalangan ahli politik, dan mengharapkan ketegasan SPRM mengheret mereka ke muka pengadilan tanpa mengira pangkat dan kuasa.

Yang lain pula berpendapat seakan-akan ada diskriminasi dalam pendakwaan rasuah kerana sebilangan besar kes yang dipaparkan media hanya melibatkan penjawat awam peringkat rendah.

“Kita baca (dalam media) kes libatkan individu berpangkat besar dengan nilai jutaan ringgit, tetapi selepas dibawa ke mahkamah dia akhirnya terlepas begitu sahaja atas pelbagai faktor teknikal dan sebagainya,” kata seorang jurujual kereta yang enggan dikenali. 

Realitinya, SPRM telah mengheret ramai individu berpangkat besar kerana penyelewengan dana dan sebagainya, namun kes-kes terbabit masih dibicarakan di mahkamah sekalipun telah bertahun-tahun sejak sebutan pertuduhan dibuat. 

 

BANYAK FAKTOR

Mengulas  isu itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata rasuah bukan sekadar salah laku individu tetapi turut mencerminkan kelemahan struktur tadbir urus dan amalan budaya berkompromi terhadap integriti.

Beliau berkata banyak faktor dikenal pasti mendorong berlakunya rasuah di negara ini termasuk kelemahan sistem kawalan dalaman serta penguatkuasaan. 

“Apabila prosedur tidak dipatuhi dengan tegas dan pemantauan longgar, ruang untuk memanipulasi kuasa dan penyalahgunaan kedudukan akan terbuka luas. Keadaan pastinya menjadikan integriti sukar ditegakkan dan keadilan mudah tergugat.


Penggubalan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan metodologi bagi mengenal pasti bidang yang terdedah kepada risiko terkini rasuah dalam negara.--fotoBERNAMA

“Selain itu, budaya materialistik dan salah faham terhadap kuasa serta amanah turut menyumbang kepada amalan rasuah… misalnya dalam keghairahan mengejar kemewahan dan status, ada yang sanggup menggadai prinsip demi kepentingan peribadi. Kuasa yang sepatutnya digunakan untuk berkhidmat kepada rakyat akhirnya menjadi alat untuk mengaut keuntungan diri sendiri,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ketiadaan ketelusan dalam urusan pelantikan individu dan perolehan tender turut dilihat antara penyebab yang boleh membuka ruang kepada berlakunya rasuah.

Situasi itu katanya akan menimbulkan persepsi negatif terhadap agensi berkenaan sekali gus menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem sedia ada.

“Apabila proses pemilihan tidak dijalankan secara terbuka dan telus, ia membuka peluang kepada kronisme dan salah guna kuasa. 

“Lebih membimbangkan apabila tiadanya keberanian moral untuk menolak sogokan menjadikan rasuah semakin sukar dibendung… individu itu tahu perbuatan tersebut salah namun memilih untuk berdiam diri atau menerimanya (kesalahan itu) atas alasan ‘sudah menjadi kebiasaan’ dan menjadikan rasuah seolah-olah perkara biasa dan bukan lagi jenayah serius,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Jais berkata tekanan ekonomi dan ketidaksamaan peluang turut menjadi pendorong kepada amalan tidak bermoral itu.

Lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup dan peluang pekerjaan terhad, sehingga akhirnya ada yang terdesak mencari jalan pintas untuk menambah pendapatan tanpa memikirkan kesan secara menyeluruh terhadap rakyat dan negara.

“Walaupun hakikatnya Malaysia mencatat sedikit peningkatan dalam CPI, isu rasuah masih menjadi duri dalam daging di negara ini. Di sebalik angka dan laporan rasmi, realiti di lapangan menunjukkan gejala rasuah sudah berakar dalam sistem, menular dari pejabat tinggi ke urusan seharian rakyat biasa.

"Bagi kami di MCW, rasuah bukan lagi masalah individu tamak tetapi secara keseluruhannya menterjemahkan tanda kelemahan struktur pentadbiran dan budaya masyarakat yang semakin longgar terhadap nilai integriti itu sendiri,” katanya.

 

MASIH SUKAR DIBENDUNG 

Dalam pada itu, Jais berkata di sebalik  pelbagai kempen kesedaran oleh  pelbagai pihak bagi membendung jenayah salah laku membabitkan rasuah, tanpa tindakan tegas langkah tersebut hanya akan menghasilkan kesan sementara. 

Sehubungan dengan itu katanya Malaysia memerlukan iltizam politik, reformasi institusi yang menyeluruh serta penerapan pendidikan nilai murni dan moral yang berterusan, dan tanpa langkah-langkah tersebut usaha pencegahan hanya akan menjadi retorik tahunan.

“Selain agensi pelaksana ataupun badan penguatkuasaan, suara rakyat juga berupaya menjadi gerakan kepada pembaharuan ini dalam menentang sebarang salah laku berkaitan rasuah. MCW percaya bahawa perjuangan menentang rasuah bukan sekadar tugas agensi penguat kuasa tetapi jihad nasional yang mesti dipikul bersama oleh setiap warganegaranya,” tegas beliau.


Jais Abdul Karim

Beliau berkata organisasi bukan kerajaan termasuk MCW sendiri perlu memainkan peranan proaktif sebagai pendidik dan pemantau agar kegiatan rasuah dapat dibendung dari peringkat akar umbi.

Sebagai badan pemerhati rasuah, MCW katanya tegas berpegang pada prinsip bahawa suara rakyat mesti diangkat sebagai suara reformasi di samping membentuk generasi muda yang berani mempertahankan integriti.

Jais berkata pihaknya mengiktiraf pelbagai inisiatif kerajaan seperti NACS, STAR Taskforce dan cadangan Akta Perolehan Kerajaan 2025 dalam memerangi rasuah namun itu dilihat masih belum cukup menyeluruh.

“Kejayaan sebenar dalam perang menentang rasuah bukan diukur melalui bilangan tangkapan tetapi perubahan mindset dan budaya.

“Apabila masyarakat menganggap rasuah sebagai aib moral dan apabila anak muda bangga berkata ‘saya menolak rasuah’ dan apabila pemimpin dihormati kerana integriti bukan kekayaan... ketika itulah Malaysia benar-benar menang dalam jihad memerangi rasuah ini," katanya.

 

HUKUMAN DAN GANJARAN

Menurut SPRM, individu yang disabitkan kesalahan rasuah antaranya akan berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan didenda sebanyak lima kali nilai suapan. 

Bagi rasuah yang tidak boleh dinilai dengan wang seperti habuan seks, denda yang boleh dikenakan adalah RM10,000 atau lebih tinggi.

Bagi penjawat awam, hukuman penjara boleh menyebabkan mereka hilang pelbagai kelayakan termasuk bayaran pencen seperti yang dinyatakan menerusi Seksyen 21(1) Akta Pencen 1980: “… jika mana-mana orang yang telah diberikan pencen atau faedah lain di bawah akta ini dikenakan hukuman mati atau penjara selama sesuatu tempoh oleh suatu mahkamah, maka pencen atau faedah lain itu hendaklah terhenti dengan serta-merta.”

Dengan kata lain, hukuman penjara meskipun hanya sehari boleh menyebabkan mereka kehilangan semua itu.

Selain itu, harta yang diperoleh daripada aktiviti rasuah akan turut disita dan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia. Pelucuthakan harta dilakukan sama ada melalui Seksyen 40 dan 41 Akta SPRM 2009, atau Seksyen 55 dan 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA 2001).

Akta SPRM 2009 turut mewajibkan pesalah rasuah menjalani hukuman penjara. Tempohnya tertakluk kepada nilai rasuah dan keseriusan kes.

Pelucuthakan harta boleh dibuat dalam dua keadaan iaitu sama ada pelaku rasuah didakwa di mahkamah atau pelaku rasuah tidak didakwa di mahkamah.


Seramai 37 ahli politik terlibat dengan rasuah dan ditahan SPRM dalam tempoh 10 tahun.--fotoBERNAMA

Dalam pada itu, identiti pesalah rasuah juga dipaparkan di portal rasmi SPRM  menerusi Pangkalan Data Pesalah Rasuah yang akan digunakan sebagai rujukan oleh majikan dan kedutaan asing dalam membuat penilaian ke atas individu yang memohon pekerjaan atau urusan pengeluaran visa.

Maklumat pesalah rasuah dipaparkan dalam pangkalan data selama tiga tahun dari tarikh sabitan.

Menurut SPRM, kerajaan juga menghargai penjawat awam berintegriti yang menolak rasuah dan melaporkan kepada SPRM. 

Ia dibuktikan menerusi pekeliling 'Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah' yang dikeluarkan pada 11 Mei 2011. 

Inisiatif kerajaan itu bertujuan menggalakkan penjawat awam melaporkan rasuah, seterusnya mengiktiraf mereka yang mempamerkan integriti tinggi dalam menangani tawaran rasuah. 

Menerusi surat pekeliling itu, penjawat awam yang melaporkan rasuah layak menerima pengiktirafan dan ganjaran kewangan daripada kerajaan.

Nilai ganjaran adalah bergantung pada nilai rasuah yang ditawarkan. Kebanyakan kes, nilai ganjaran adalah sama dengan nilai rasuah yang ditawarkan.

Berdasarkan data SPRM,  Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendahului senarai kumpulan penjawat awam yang diberikan pengiktirafan serta ganjara kerana membuat aduan kepada SPRM tentang pemberian atau penerimaan rasuah bagi tempoh 2012 hingga 2024.

Pegawai dan anggota PDRM menjadi penerima pengiktirafan dan ganjaran teramai, iaitu 386 orang daripada 550 calon, diikuti warga Jabatan Imigresen Malaysia (48 orang), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (25), serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (15 orang), manakala selebihnya daripada lain-lain agensi kerajaan.

Untuk rekod, ganjaran tertinggi yang pernah diterima oleh seorang penjawat awam kerana melaporkan rasuah adalah RM100,0000.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503628