PASARAN

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Pengambilan Untung Selepas Kenaikan Empat Hari

17/12/2025 07:15 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan selama empat hari berturut-turut apabila ditutup rendah pada Rabu berikutan aktiviti pengambilan untung selepas indeks petunjuk pasaran mencatat prestasi positif setakat ini pada tahun ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.87 mata atau 0.42 peratus kepada 1,641.44 daripada 1,648.31 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka rendah 2.99 mata kepada 1,645.32 dan bergerak dalam julat antara 1,639.13 dan 1,646.66 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 575 berbanding 465 manakala sebanyak 543 kaunter tidak berubah, 1,193 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.45 bilion unit bernilai RM2.27 bilion berbanding 2.59 bilion unit bernilai RM2.27 bilion pada Selasa.

Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata momentum FBM KLCI baru-baru ini meningkat sebanyak 37.31 mata atau 2.32 peratus, menjadikan tempoh pengukuhan sebagai sesuatu yang baik dan dijangkakan.

Beliau berkata penyertaan pasaran kekal perlahan, dengan jumlah dagangan di bawah paras tiga bilion unit untuk sesi ketiga berturut-turut, menandakan jualan yang terkawal dan tidak agresif.

“Dalam kalangan komponen indeks, saham perbankan mencatat penyusutan terbesar manakala saham perindustrian memberi sedikit sokongan. Di pasaran lebih luas, sektor telekomunikasi mencatat penurunan paling ketara manakala sektor teknologi menunjukkan prestasi lebih baik.

“Oleh itu, kami kekal optimis terhadap prospek jangka pendek dan menjangka FBM KLCI secara umumnya mengekalkan momentum asas, dengan paras dagangan pada sekitar 1,640 minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan CIMB masing-masing susut enam sen kepada RM10.30, RM4.41 dan RM7.92. IHH Healthcare rendah 13 sen kepada RM8.59 manakala Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM13.24.

Bagi saham paling aktif, Velesto meningkat setengah sen kepada 28 sen, Top Glove naik 1.5 sen kepada 65 sen manakala Zetrix AI dan V.S Industry masing-masing susut setengah sen kepada 80.5 sen dan 48 sen, dan Tanco tidak berubah pada RM1.15.

Saham paling untung antaranya Malaysian Pacific Industries yang meningkat 90 sen kepada RM32.40, Nestle menokok 80 sen kepada RM113.80, UWC melonjak 29 sen kepada RM4.26, Hong Leong Industries naik 22 sen kepada RM15.90 dan Solarvest menokok 21 sen kepada RM3.31

Antara saham paling rugi menyaksikan Kuala Lumpur Kepong susut 44 sen kepada RM19.36, Hong Leong Financial Group rendah 28 sen kepada RM18, Hong Leong Bank berkurangan 24 sen kepada RM21.62, FCW rendah 20 sen kepada RM1.80, dan Fraser & Neave susut 18 sen kepada RM35.30.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 18.78 mata kepada 12,080.42, Indeks FBMT Top 100 rendah 26.71 mata kepada 11,874.12 manakala Indeks FBM Mid 70 meningkat 65.0 mata kepada 16,683.60, Indeks FBM Emas Shariah naik 10.64 mata kepada 11,921.14, dan Indeks FBM ACE menambah 34.07 mata kepada 4,771.49.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 9.31 mata kepada 769.37 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.33 mata kepada 169.82 manakala Indeks Perladangan susut 9.72 mata kepada 8,170.31 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 139.85 mata kepada 19,176.22.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.32 bilion unit bernilai RM2.05 bilion daripada 1.30 bilion unit bernilai RM2.06 bilion pada Selasa.

Dagangan waran menyusut kepada 861.45 juta unit bernilai RM124.39 juta berbanding 987.56 juta unit bernilai RM118.87 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 271.58 juta unit bernilai RM98.78 juta berbanding 299.21 juta unit bernilai RM94.17 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 184.85 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (235.62 juta), pembinaan (78.03 juta), teknologi (173.43 juta), perkhidmatan kewangan (80.74 juta), hartanah (155.87 juta), perladangan (21.97 juta), amanah pelaburan hartanah (21.35 juta), dana tertutup (2,800 saham), tenaga (153.07 juta), penjagaan kesihatan (127.40 juta), telekomunikasi dan media (29.47 juta), pengangkutan dan logistik (35.42 juta), utiliti (23.63 juta) dan amanah perniagaan (8,000).

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503861