AM

10,330 Vesel Nelayan Terima Subsidi Diesel Sehingga Oktober Lepas

17/12/2025 12:39 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Sebanyak 10,330 vesel nelayan telah menerima subsidi diesel sehingga Oktober 2025 di bawah kuota Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan yang diteruskan kerajaan bagi memastikan kelangsungan sektor perikanan serta kestabilan bekalan ikan negara.

 Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bagi tahun ini, kuota diesel bersubsidi sebanyak 70 juta liter sebulan diluluskan pada kadar RM1.65 seliter, dengan jumlah keseluruhan diesel bersubsidi yang disalurkan mencecah 532.75 juta liter, melibatkan nilai subsidi sebanyak RM669 juta.

“Bagi Sabah, seramai 1,455 pemilik vesel menerima subsidi diesel berjumlah 86.6 juta liter bernilai RM116.5 juta pada 2025. Manakala pada 2026, peruntukan sebanyak 10 juta liter sebulan akan diberikan, yang memberi manfaat kepada kumpulan nelayan yang sama,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Mohamad menjawab pertanyaan Senator Datuk Bobbey Suan yang ingin mengetahui nilai keseluruhan subsidi minyak diesel yang diperuntukkan, termasuk kepada nelayan di Sabah.

Beliau berkata jumlah peruntukan dan kuota berkenaan akan dikekalkan bagi tahun hadapan, dengan pelaksanaan subsidi dibuat berdasarkan kuota, kadar penggunaan minyak yang ditetapkan serta tuntutan penggunaan sebenar oleh nelayan yang telah disahkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Bagi mengelakkan ketirisan, beliau berkata kementerian sedang memperkukuh mekanisme kawalan, termasuk peralihan berperingkat kepada penggunaan aplikasi mudah alih seperti pengecaman muka bagi pengesahan penerima subsidi, selain menambah baik kaedah sedia ada di kawasan yang menghadapi kekangan capaian internet.

Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan tidak menetapkan mana-mana negeri atau kawasan tertentu sebagai pengeluar khusus bahan makanan, sebaliknya mengambil pendekatan fleksibel berdasarkan kesesuaian cuaca, muka bumi serta keupayaan pengusaha pertanian di sesuatu kawasan.

“Setakat ini kita tidak mengkhususkan negeri atau kawasan tertentu untuk mengeluarkan bahan makanan tertentu. Kita mengikut kemampuan dan inisiatif pengusaha, manakala kerajaan berperanan membantu. Tidaklah seperti di Kedah hanya padi dan tidak boleh mengeluarkan bahan lain,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol yang ingin mengetahui perancangan kementerian dalam membangunkan beberapa kawasan di setiap negeri sebagai bakul makanan menggunakan teknologi moden.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503664