PUTRAJAYA, 17 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu jentera komunikasi kerajaan terus diperkukuh.
Anwar berkata beliau telah mengingatkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengenai kepentingan mempertingkatkan komunikasi kerajaan.
“Kita memerlukan keberanian yang tinggi dan sudah tentu komunikasi yang berkesan. Kritikan paling ketara ialah pasukan komunikasi kita masih belum cukup mantap.
“Saya sentiasa menganggap kami sebagai satu pasukan yang berusaha sebaik mungkin, tetapi mempunyai kekangan dan mungkin juga melakukan kesilapan,” kata beliau pada Taklimat Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Taklimat itu turut disertai 92 wakil media tempatan dan antarabangsa.
Perdana Menteri berkata media juga boleh memainkan peranannya dalam menasihati kerajaan untuk menyampaikan komunikasi yang berkesan, di samping menekankan bahawa matlamatnya bukan untuk propaganda.
“Ini bukan jentera propaganda, tetapi hanya menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku di negara ini. Apa yang kami laksanakan dan mungkin juga kekangan kami serta apa yang belum kami laksanakan,” kata beliau.
Beliau berkata kerajaan pada masa ini sedang berusaha untuk mempertingkat komunikasi.
“Bukan sekadar soal menghadapi pilihan raya, tetapi yang lebih penting ialah tentang struktur negara ini, kerana apa sahaja yang dilakukan, jika mahu menjadi parti yang bekerjasama dengan rakyat, segala tindakan perlu diterjemah dengan jelas,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata penting bagi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum untuk meningkatkan penguasaan dan kemahiran bahasa Melayu mereka.
-- BERNAMA