KUANTAN, 17 Dis (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyumbang makanan kepada mangsa banjir di sini hari ini.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan kurniaan itu disampaikan oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya kepada mangsa banjir.
“Sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang terlibat pada hari pertama pengagihan makanan dengan kerjasama Pasukan Bantuan Bencana Majlis Kesultanan Pahang membabitkan PPS Taman Sri Mahkota dan Wisma Belia, Indera Mahkota,” menurut hantaran itu.
Sementara itu, mangsa banjir Nur Izzati Abdul Halim, 37, dari Perumahan Makmur Jaya di sini menghargai keprihatinan baginda berdua dan beliau sama sekali tidak menyangka menu dari dapur istana merupakan rezeki makan malam mereka hari ini.
“Alhamdulillah, menjunjung kasih Tuanku, rezeki kami di sini. Saya juga amat bersyukur kerana makanan di PPS ini tidak pernah putus, tak sempat lapar makanan dah sampai," kata ibu kepada tiga anak itu.
-- BERNAMA