SEREMBAN, 18 Dis (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Sembilan menahan 46 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan menerusi operasi di sebuah kilang besi, Nilai di sini, semalam.
Pengarahnya Kennith Tan Ai Kiang berkata kesemua ditahan dalam operasi lebih empat jam bermula 9 pagi itu lelaki Bangladesh berusia antara 18 hingga 43 tahun.
“Tindakan penguatkuasaan diambil susulan aduan awam berhubung pendatang tanpa izin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata antara kesalahan dilakukan ialah tiada pas dan dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan kesalahan lain mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Semua ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA