KANGAR, 18 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersetuju menetapkan kutipan Tabung Jumaat di semua masjid di Perlis pada esok akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir Aceh.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyedari akan ikatan ukhuwah yang tidak terpisah dan semangat kemanusiaan sejagat, maka baginda menyeru seluruh umat Perlis bersama-sama menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban ditanggung mangsa bencana itu.
"Besarlah harapan saya agar sumbangan ikhlas yang dihulurkan oleh umat Perlis akan dapat membantu usaha pemulihan dan pembangunan semula kehidupan saudara kita di Aceh. Sesungguhnya, bantuan ini adalah manifestasi daripada semangat persaudaraan dan keprihatinan yang terpuji.
"Semoga Allah SWT merahmati setiap usaha dan sumbangan yang dihulurkan, serta memberikan kekuatan dan kesabaran kepada seluruh mangsa yang terlibat dalam menghadapi ujian besar ini," titah baginda yang juga Yang DiPertua MAIPs dalam kenyataan rasmi hari ini.
-- BERNAMA