EKONOMI

Yinson Renewables Peroleh Hak Ladang Angin Mt Cass 94.6 MW Di New Zealand

18/12/2025 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Unit perniagaan tenaga boleh baharu Yinson Holdings Bhd, Yinson Renewables memperoleh hak ke atas Projek Ladang Angin Mt Cass daripada MainPower New Zealand Ltd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Yinson berkata kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada awal 2026 dengan projek disasar beroperasi secara komersial pada 2028.

Ladang angin Mt Cass direka dengan kapasiti terpasang 94.6 megawatt (MW) dan dijangka menjana lebih 300 gigawatt-jam (GWh) elektrik setahun apabila beroperasi kelak, mencukupi untuk membekalkan tenaga kepada kira-kira 40,000 isi rumah.

Mt Cass merupakan ladang angin pertama Yinson Renewables yang akan dibangunkan serta projek pertama syarikat itu di New Zealand.

Projek berkenaan mempunyai nilai strategik yang penting dan berfungsi untuk menambah kapasiti penjanaan tenaga yang sangat diperlukan di Upper South Island, selain menyokong sasaran penyahkarbonan New Zealand.

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Renewables David Brunt berkata Ladang Angin Mt Cass juga menandakan peluasan signifikan kehadiran syarikat itu di New Zealand.

“Kami berbesar hati dapat menjadi pengeluar tenaga bebas global pertama yang memiliki dan membangunkan ladang angin di negara ini, satu langkah penting bagi Yinson Renewables dari segi strategi serta misi kami untuk menyediakan penyelesaian mampan yang menyokong peralihan tenaga New Zealand,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara Yinson Renewables bagi New Zealand Trevor Nash berkata beliau menantikan kerjasama dengan pihak berkepentingan utama dalam menjayakan projek tersebut, selain menjayakan lebih banyak inisiatif tenaga bersih dan menyumbang kepada agenda penyahkarbonan negara itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504087