AM

ICQS Wang Kelian Dibuka Semula

18/12/2025 06:59 PM

KANGAR, 18 Dis (Bernama) -- Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian di Padang Besar yang ditutup sejak 23 Nov lepas dibuka semula berdasarkan keperluan semasa, namun buat sementara waktu ia terhad untuk kegunaan penduduk Kampung Wang Kelian. 

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Rahimi Ismail berkata kawalan keluar masuk terhad bagi perjalanan penduduk kampung itu sahaja, selaras dengan saranan Jabatan Kerja Raya (JKR) menutup sementara laluan Bukit Wang Kelian.

Sehubungan dengan itu, Rahimi berkata laluan Wang Kelian dengan Wang Prachan, Thailand akan dibenarkan beroperasi seperti aliran bebas bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan bekalan keperluan harian.

"Buat sementara waktu penutupan laluan, maka perjalanan dari Wang Prachan hanya terhad sehingga simpang tiga Kampung Wang Kelian sahaja, iaitu sebelum SJR (Sekatan Jalan Raya), manakala perjalanan ke Wang Prachan dibuka khusus untuk penduduk Kampung Wang Kelian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pembukaan laluan itu hasil perbincangan bersama pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengambil kira permintaan penduduk setempat dan keperluan semasa.

Untuk rekod, berlaku insiden tanah runtuh di 11 lokasi sepanjang laluan utama yang menghubungkan Wang Kelian ke Wang Prachan yang berlaku semasa kejadian banjir di Perlis pada penghujung November lepas sehingga menyebabkan kompleks berkenaan dan jalan menghala ke Wang Kelian terpaksa ditutup.

Rahimi berkata jalan menghala ke Wang Kelian itu telah dibuka dengan jumlah kenderaan yang boleh melalui jalan itu dikawal pihak JKR dan polis bagi mengelakkan kesesakan, serta menjamin keselamatan pengguna memandangkan kerja pembaikan jalan masih dijalankan.

“Bagaimanapun, kemasukan kenderaan bagi tujuan kecemasan tidak menjadi sebarang halangan dan dibenarkan pada bila-bila masa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504251