AM

KSN Santuni Mangsa Banjir Di Kuantan

19/12/2025 11:08 AM

KUANTAN, 19 Dis (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turun padang menyantuni mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, semalam. 

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Shamsul Azri meluangkan masa di beberapa PPS untuk melihat sendiri keadaan mangsa banjir dan menghulurkan bantuan. 

“Saya sempat singgah ke PPS Sekolah Kebangsaan Pandan dan PPS Taman Tas menyantuni dan menghulurkan sedikit bantuan kepada mangsa-mangsa musibah banjir,” menurut hantaran itu. 

Shamsul Azri turut menzahirkan penghargaan kepada petugas dan sukarelawan yang membantu mangsa banjir. 

“Terima kasih kepada seluruh petugas dan sukarelawan yang bertungkus lumus memberikan bantuan. Doa saya moga dipermudah segala urusan dan keselamatan buat kalian,” katanya dalam hantaran sama. 

Setakat 8.30 pagi tadi, Pahang merekodkan 13,472 mangsa banjir daripada 4,437 keluarga yang ditempatkan di 81 PPS di enam daerah, iaitu Kuantan, Maran, Rompin, Pekan, Jerantut dan Lipis. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504383