SUKAN

Perjalanan Harimau Muda Di Sukan SEA Boleh Dijadikan Buku - Mohd Nafuzi

18/12/2025 09:46 PM

BANGKOK, 18 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara Mohd Nafuzi Zain menyifatkan perjalanan Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025 sebagai satu perjuangan penuh liku dan pengorbanan yang wajar dibanggakan.

Menurut Mohd Nafuzi, sejak awal persiapan, pasukan berdepan pelbagai cabaran termasuk pemain yang tidak dilepaskan kelab, kekurangan pemain, penggantungan, serta kecederaan.

“Kalau nak ikutkan cerita Sukan SEA ini, dari awal persiapan hingga kini, kita boleh buat buku tentang liku-liku perjalanan pasukan. Pemain tidak pernah cukup, ada yang masuk, ada yang keluar, ada yang digantung, ada yang cedera.

“Sehingga ke akhirnya, kita seolah-olah berperang. Ada pemain yang bertongkat, berbalut bahu. Itu semua adalah pengorbanan dan satu perjuangan untuk negara yang saya rasa kita patut bangga,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tempat ketiga di Stadium Nasional Rajamangala di sini, hari ini.

Dalam pertembungan menentang Filipina itu, skuad Harimau Muda melakar kemenangan 2-1 untuk merangkul pingat gangsa, sekali gus menamatkan kemarau pingat Malaysia dalam acara bola sepak lelaki di pentas Sukan SEA selepas lapan tahun.

Dalam aksi tersebut, skuad negara membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi Danish Hakimi Sahaludin sebelum Filipina menyamakan kedudukan hasil gol sendiri Muhammad Haqimi Azim Rosli pada minit ke-36, namun pemain itu menebus kesilapannya dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-43.

Kejayaan itu menyaksikan skuad Harimau Muda kembali menaiki podium buat pertama kali sejak meraih perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, sekali gus menebus kekecewaan tersingkir tanpa pingat pada tiga edisi terdahulu.

Mengulas lanjut, Mohd Nafuzi berkata para pemain menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi dalam menghadapi kekurangan pasukan sepanjang kempen di sini.

“Saya begitu bangga dengan mereka kerana semangat juang yang ditunjukkan sangat tinggi dari segi teamwork dan bonding seperti keluarga. Walaupun kita kurang permain, itu yang membuatkan kita boleh tolong-menolong satu sama lain,” kata jurulatih berusia 45 tahun itu.

Malaysia tersingkir pada peringkat kumpulan masing-masing pada edisi 2019 di Filipina dan edisi 2023 di Kemboja.

Pada edisi 2021 di Vietnam, hasrat pasukan negara untuk membawa pulang pingat tidak kesampaian selepas dikecewakan Indonesia dalam perlawanan penentuan tempat ketiga yang berakhir 1-1, sebelum menang 4-3 melalui penentuan sepakan penalti.

-- BERNAMA

 

 


 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504307