SUKAN

Haritz Iklil Raih Emas Ke-50, Cipta Rekod Baharu Disebalik Kesayuan

19/12/2025 04:44 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Kejayaan penembak negara Haritz Iklil Hessly Hafiz merangkul pingat emas acara 50 meter (m) rifle tiga posisi individu lelaki pada Sukan SEA 2025 hari ini diselubungi emosi apabila ia hadir hanya dua bulan selepas pemergian bapanya.

Pada aksi final di Lapangan Sasar Menembak Sports Authority of Thailand, di sini, Haritz Iklil mempamerkan aksi cemerlang apabila mengumpul 447.5 mata sekali gus mencipta rekod baharu temasya Sukan SEA.

Beliau menewaskan wakil Singapura Marat Lleyton P Veloso yang meraih perak dengan 446.6 mata, manakala gangsa menjadi milik penembak Indonesia Fathur Gustafian dengan 437.3 mata.

Menurut Haritz Iklil, sepanjang saingan berlangsung beliau hanya memikirkan tentang arwah ayahnya yang sepatutnya hadir bagi menyaksikan beliau beraksi di sini.

“Dalam kepala saya dari awal sehingga habis saingan, saya cuma teringatkan arwah ayah, sepatutnya dia datang sini tapi tiada rezeki,” katanya kepada pemberita selepas aksi final.

Mengulas lanjut, atlet berusia 25 tahun itu berkata bapanya meninggal dunia akibat strok dua bulan lalu ketika beliau sedang menjalani persiapan rapi bagi menghadapi temasya berkenaan.

“Jadi saya di sini ada rasa gembira dan ada rasa sedih, tetapi lebih banyak rasa sedih,” katanya yang menghadiahkan emas ke-50 buat kontinjen negara pada edisi kali ini.

Sementara itu, mengulas mengenai rekod temasya yang dilakar, beliau mengakui tidak menyangka mampu melakukannya kerana hanya memberi fokus untuk mempamerkan aksi terbaik selepas gagal meraih pingat pada penampilan sulung di Vietnam pada 2021.

“Itu (rekod temasya) saya anggap sebagai bonus. Saya hanya nak buat yang terbaik untuk Sukan SEA kali ini sebab ini Sukan SEA saya yang kedua dan juga kali pertama dapat pingat,” katanya.

Catatan 447.5 dilakukan Haritz Iklil memadam rekod lama 445.3 mata yang dicipta penembak Thailand Napis Tortungpanich pada edisi 2021.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504527