KOTA KINABALU, 19 Dis (Bernama) -- Kejayaan anak jati Sabah Gerald Wong dipilih menerima Anugerah Kepimpinan ASEAN Ke-7 bagi Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, bukan sahaja mengharumkan nama Sabah malah negara di peringkat serantau.
Ketua MenteriSabah Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Tokou itu, sekali gus membuktikan keupayaan anak Sabah untuk bersaing serta memimpin inisiatif pembangunan luar bandar di peringkat ASEAN.
“Kejayaan Gerald wajar dijadikan contoh khususnya kepada golongan belia Sabah bahawa usaha gigih dan komitmen dalam membangunkan masyarakat mampu diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan selepas bertemu Gerald di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Pada 12 Dis lepas, Gerald adalah antara 20 penerima anugerah itu yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok, Thailand.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama Gerald berkata anugerah berkenaan adalah hasil usaha bersama komuniti luar bandar yang terlibat secara langsung dalam pelbagai inisiatif pertanian moden yang dilaksanakan.
Beliau berkata melalui Farm Tokou, mereka memperkenalkan pendekatan pertanian moden seperti hidroponik, akuaponik serta sistem pertanian berteknologi, disokong latihan kemahiran dan pembangunan ekonomi komuniti yang membantu menjana pendapatan sampingan secara mampan.
“Setakat ini, Farm Tokou telah beroperasi di Telupid dan Penampang selain membimbing lebih 100 komuniti luar bandar di 10 daerah sejak 2023, termasuk di Sook, Ranau, Kudat dan Papar.
“Anugerah ini adalah milik semua komuniti yang percaya bahawa pertanian moden mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya yang berasal dari Telupid.
-- BERNAMA