KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Kekurangan firma bermodal besar dengan mudah tunai yang mencukupi merupakan satu daripada cabaran utama yang menjadikan Bursa Malaysia kurang menarik kepada pelabur asing berbanding rakan-rakan serantau, kata Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata memandangkan pelabur asing lebih menyukai syarikat besar dengan mudah tunai yang mencukupi, Malaysia sedikit “tertinggal” berbanding pasaran Asia Utara seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Taiwan.
"Cabarannya masih mengenai bagaimana untuk meyakinkan syarikat-syarikat terutamanya syarikat besar untuk disenaraikan di pasaran saham tempatan kerana pada masa ini terdapat banyak tawaran awam permulaan (IPO) tetapi kebanyakannya di pasaran ACE, melibatkan syarikat yang agak kecil," katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat kepada para editor di sini, pada Khamis.
Menyebut mengenai pengumuman terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penyenaraian baharu sangat positif dengan saluran IPO yang mengumpul hampir RM30 bilion daripada 60 penyenaraian tahun ini.
Amir Hamzah menambah walaupun aliran masuk dana baharu daripada syarikat-syarikat tersebut menggalakkan, ia diimbangi dengan aliran keluar asing daripada pasaran ekuiti yang berjumlah kira-kira RM20 bilion setakat tahun ini sehingga awal Disember 2025.
"Apa yang kita perlukan iaitu syarikat-syarikat yang lebih besar kerana pelabur asing secara amnya tidak dapat melabur dalam syarikat kecil. Mereka memerlukan syarikat yang lebih besar dengan mudah tunai yang mencukupi.
"Malaysia masih kekurangan syarikat bersaiz besar yang sedang berkembang dan menghasilkan pulangan ekuiti (ROE) yang baik," katanya.
Hasilnya, PNB menggesa syarikat-syarikat tersenarai tempatan untuk memperbaiki prestasi dengan memberikan ROE yang lebih kukuh, pertumbuhan pendapatan dan amalan mesra pasaran seperti meningkatkan nilai pemegang saham dan menawarkan dividen yang lebih tinggi, bagi menarik pelabur asing kembali ke pasaran ekuiti domestik.
Menggesa pengawal selia mencontohi model tekanan reputasi Jepun
Untuk memacu pertumbuhan korporat yang lebih kukuh, Abdul Rahman mencadangkan supaya pengawal selia tempatan mencontohi pendekatan yang diterima pakai oleh Jepun dan Korea Selatan.
Beliau memberi contoh Jepun dengan menyatakan bahawa Tokyo Stock Exchange mengenakan tekanan reputasi ke atas syarikat-syarikat yang mempunyai nisbah harga kepada buku (PBR) yang rendah melalui keperluan pendedahan apabila aktivis pemegang saham kemudiannya menggunakan pendedahan ini secara bebas untuk mendorong ROE dan PBR yang lebih tinggi.
"Korea Selatan juga melaksanakan program yang serupa. Jika kita dapat menerima pakai beberapa langkah ini, saya percaya ia akan membantu," katanya.
Menggambarkan pasaran ekuiti Malaysia melalui "dekad yang hilang" sejak 2014-2015, Abdul Rahman menyatakan harapan bahawa inisiatif sebegini akan membantu menghidupkan kembali pasaran saham tempatan.
Prospek untuk 2005 dan 2006
Mengenai prestasi pasaran pada 2025, Abdul Rahman berkata walaupun berlaku penurunan mendadak pada April akibat pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat (AS), pasaran saham global mengalami pemulihan dengan baik, terutamanya disokong oleh pelaburan yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).
"Mungkin, kita boleh berhujah bahawa 2025 merupakan tahun sementara (bagi Bursa Malaysia), tetapi persoalan utamanya adalah sama ada kita boleh memberikan prestasi korporat yang lebih baik dan struktur pemegang saham yang lebih kukuh kerana itu satu-satunya cara untuk menarik dana asing," katanya.
Memandang ke hadapan iaitu ke 2026, Abdul Rahman berkata penganalisis yakin dengan Malaysia kerana mereka mendapati bursa tempatan kelihatan mencapai paras terendah dengan pemilikan asing dalam pasaran ekuiti hanya sekitar 18.7 peratus.
Walaupun beliau tidak mendedahkan unjuran khusus untuk 2026 bagi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), beliau berkata pasaran dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti pelancongan sewaktu Tahun Melawat Malaysia 2026 serta asas yang kukuh termasuk nilai ringgit dan pertumbuhan ekonomi.
"Kementerian Kewangan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi sekitar 4.0 hingga 4.5 peratus tahun depan dan unjuran dalaman kami juga berada pada tahap lebih tinggi dalam julat itu...kami yakin ekonomi Malaysia akan berkembang sekitar 4.5 peratus.
"Jadi, secara asasnya, saya rasa ekonomi pendasar adalah lebih baik," katanya.
PNB mempelbagaikan portfolio
Mengenai portfolio pelaburan PNB pada masa hadapan, Abdul Rahman berkata pengurus aset itu percaya ia perlu terus dipelbagaikan terutamanya apabila pasaran asing berprestasi lebih baik berbanding pasaran domestik.
Contohnya, katanya pertumbuhan setakat tahun ini FBM KLCI adalah -0.3 peratus, satu perbezaan ketara berbanding dengan pertumbuhan kira-kira 10 peratus tahun ke tahun yang dilihat pada 1990-an.
Prestasi bursa tempatan juga ketinggalan berbanding dengan rakan-rakan serantau dengan Singapura meningkat lebih 21 peratus setakat tahun ini dan Indonesia mencatatkan kenaikan lebih 22 peratus setakat tahun ini, katanya.
Sepanjang lima tahun lepas, pasaran AS dan Jepun masing-masing meningkat hampir 13 peratus manakala Taiwan pula mencatatkan pertumbuhan sekitar 14 peratus, tambahnya.
Namun begitu, katanya, kepelbagaian juga melibatkan pengembangan ke dalam kelas aset lain seperti pendapatan tetap yang beliau sifatkan sebagai amat penting.
"Dari segi sejarah, pendedahan kami kepada pendapatan tetap agak rendah. Walaupun kadar faedah kekal tinggi dan kos pembiayaan juga tinggi, pendapatan tetap memberikan kestabilan kerana ia tidak turun naik sebanyak pasaran ekuiti dan membantu meningkatkan ketahanan portfolio.
"Jadi kepelbagaian merupakan perkara yang besar bagi kami dan kami akan melakukannya dengan bijaksana," tambahnya.
Menurut Abdul Rahman, pelaburan luar negara PNB kini merangkumi kira-kira 27 peratus daripada portfolionya dengan baki 73 peratus dilaburkan di dalam negara.
-- BERNAMA