PAPAR, 20 Dis (Bernama) -- Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Krismas dilaksanakan selama lima hari bermula 23 hingga 27 Dis ini, melibatkan 14 jenis barangan terkawal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata tempoh itu merangkumi dua hari sebelum perayaan Krismas, sehari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.
“Pelaksanaan SHMMP adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa dengan mengambil kira pertimbangan agar pengguna dapat menikmati harga berpatutan dan peniaga tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena pengumuman pelaksanaan SHMMP Krismas dan program Jualan Rahmah di Dewan Terbuka Perpustakaan Papar, di sini hari ini.
Armizan berkata kementerian telah mengenal pasti barangan yang dikawal di bawah skim ini termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah (China), tomato, cili merah.
Selain itu lada benggala hijau, bawang merah besar, bawang kuning besar, ubi kentang import (China), kepak ayam, ayam tua hidup (Sarawak sahaja) manakala babi hidup (ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) hanya di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja.
Beliau berkata SHMMP dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AHKAP) 2011 bagi membolehkan penentuan harga dibuat.
Sementara itu, sebanyak 875 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Krismas dilaksanakan di seluruh negara bermula Khamis lepas (18 Dis) hingga 27 Dis ini.
Armizan berkata orang ramai boleh menyemak takwim pelaksanaan PJRM Krismas di laman sesawang KPDN di http://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah manakala tempahan tarikh janji temu serta lokasi servis kenderaan SIM@PAX boleh dibuat melalui aplikasi “SETEL” oleh Petronas.
“Terdapat 115 buah premis bengkel di seluruh negara yang terlibat dalam pelaksanaan SIM@PAX sempena Krismas tahun ini,” katanya.
-- BERNAMA