JENAYAH & MAHKAMAH

Perobohan Jeti Haram Kurangkan Ketirisan - JKDNKA

20/12/2025 05:30 PM

TUMPAT, 20 Dis (Bernama) -- Usaha berterusan merobohkan jeti haram di sepanjang sempadan negara diyakini mampu membantu kerajaan mengurangkan ketirisan hasil serta memperkukuh kawalan keselamatan, khususnya dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Fisol Salleh berkata setakat ini, sebanyak 25 jeti haram telah dirobohkan hasil penyelarasan pelbagai agensi penguat kuasa.

"Berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) tadi, pihak berkuasa menganggarkan lebih 100 jeti haram masih wujud dan memerlukan tindakan bersepadu pada peringkat negeri," katanya kepada pemberita bersempena dengan lawatan kerja di Markas Taktikal PGA Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Beliau berkata perobohan jeti haram ini amat penting kerana selari dengan penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar aktiviti yang menyebabkan kebocoran hasil dapat dibendung.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504856