PETALING JAYA, 20 Dis (Bernama) -- Kerajaan bersetuju memberikan pengecualian bayaran sewaan kepada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), yang beroperasi di bangunan milik Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan Belfield, Bukit Petaling ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengecualian sewaan terhadap premis yang kini dikenali sebagai Rumah Gapena itu, diambil sebagai komitmen kerajaan dalam membantu meneruskan kelangsungan karya kesusasteraan, budaya seni dan bahasa negara.
“Saya ada menerima surat daripada Datuk Zainal Abidin Borhan (Presiden Gapena), yang memohon pengecualian bayaran ini, malah sebelum ini pun Tan Sri Latiff Bakar juga ada mohon untuk pengecualian itu.
“Saya ada dua pilihan, sama ada mengecualikan (bayaran sewa) itu atau mengurangkan (kadar sewaan), jadi saya pilih yang pertamalah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah, sempena sambutan 55 tahun Gapena di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Dewan Negara Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan dan Zainal Abidin.
Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid memberi jaminan permohonan gabungan itu untuk mendapatkan hak milik kekal tanah Rumah Gapena, yang menjadi pusat kegiatan penulis tanah air akan dibawa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid dalam ucapannya juga menyarankan Gapena lebih proaktif mendekati generasi muda khususnya pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan kelestarian sastera dan nilai budaya tidak tenggelam dalam arus pemodenan.
“Walaupun (jangkaan) di akhir Rancangan Malaysia Ke-13 nanti, 70 peratus pelajar akan mengikuti kursus teknikal dan kejuruteraan, jangan pernah mengambil mudah bahawa seolah-olah sastera dan nilai budaya yang ada itu akan tertinggal, kerana hanya ada 30 peratus sahaja yang tidak mengikuti kursus non-technical subject.
“TVET itu, gelombang ekosistem pendidikan kita. Namun saya mohon Gapena dan badan-badan gabungan, dekati anak-anak ini, terobosi minda mereka dengan sastera agar teras dan nilai budaya ini terus dibawa mereka walaupun terjun di dalam bidang teknikal,” katanya.
Beliau turut menjadikan contoh game-changer yang dilakukan kerajaan dalam menaikkan pendidikan TVET di negara ini termasuk melibatkan penyertaan golongan pelajar sistem pendidikan sekolah pondok ataupun mahad tahfiz sebagai perancangan strategik yang boleh diteladani.
-- BERNAMA