Daripada Muhammad Afiff Md Adnan
BANGKOK, 20 Dis (Bernama) --Tirai Sukan SEA 2025 secara rasmi ditutup malam ini apabila api hijau tetinmasya dipadamkan dalam majlis penutup yang penuh warna-warni dan bertenaga di Stadium nasional Rajamangala, di sini.
Majlis dimulakan dengan segmen ‘The Sound of Whistle’’, menampilkan penyanyi bintang T-POP, Daou dan Kratae, mendendangkan lagu ikonik Thailand, ‘Rak Nak Naen’, yang digubah semula bagi mencerminkan semangat kesukanan, disiplin dan perpaduan negara-negara ASEAN yang bertanding.
Sorakan penonton bergema sebaik perarakan atlet bermula, memperlihatkan kehadiran wira dan wirawati sukan daripada 54 disiplin sukan berbeza.
Perarakan kontinjen negara terdiri daripada 80 atlet dan pegawai, termasuk pemain sepak takraw senior Farhan Adam, yang diberikan penghormatan membawa Jalur Gemilang.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Thamanat Prompow seterusnya menyampaikan ucapan dan mengisytiharkan penutupan rasminya temasya sukan yang bermula 9 Disember lepas.
Majlis diteruskan dengan tayangan video sorotan khas, membolehkan penonton mengimbau kembali detik-detik paling bermakna sepanjang 11 hari temasya berlangsung di dua wilayah, Bangkok dan Chonburi.
Upacara pemadaman api hijau Sukan SEA diserikan melalui konsep ‘The Sound of Whistle’ dimana penonton dijemput meniup wisel sebagai tanda rasmi penutupan temasya.
Bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan Sukan SEA 2025 diturunkan, sebelum diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebagai simbolik penyerahan temasya dwitahunan sukan terbesar rantau ini kepada tuan rumah seterusnya.
Sebagai tuan rumah edisi ke-34 pada 2027, Malaysia turut mempersembahkan segmen ‘Rhythm of Harmony’, menampilkan artis tempatan Mimi Fly serta 60 penari, mempamerkan kepelbagaian budaya serta keharmonian negara.
Majlis diakhiri dengan segmen ‘The Sound of Champions’, menampilkan lagu ikonik ‘We Are the Champions’, diselangi dengan percikan bunga api menerangi perimeter stadium.
Dalam carta pungutan pingat, Malaysia menduduki tempat keempat dengan 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, manakala tuan rumah Thailand mengungguli carta dengan kutipan pingat 233-154-112.
-- BERNAMA