JENAYAH & MAHKAMAH

Jenayah Telekomunikasi: Belia Berusia 21 Hingga 30 Tahun catat Mangsa Tertinggi - Polis

21/12/2025 11:58 AM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Golongan belia berusia lingkungan 21 hingga 30 tahun merekodkan jumlah mangsa penipuan jenayah telekomunikasi tertinggi dalam tempoh Jan hingga Nov tahun ini dengan melibatkan 8,789 orang.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dalam kenyataan memaklumkan dalam tempoh berkenaan, sebanyak 28,698 kes jenayah telekomunikasi dilaporkan di seluruh negara dengan jumlah kerugian mencecah RM715 juta. 

“Kumpulan umur 31 hingga 40 tahun mencatatkan jumlah mangsa kedua tertinggi iaitu 6,825 mangsa diikuti golongan berusia 41 hingga 50 tahun melibatkan 4,977 mangsa.

“Selain itu, sebanyak 3,382 individu berusia 51 hingga 60 tahun turut dilaporkan menjadi mangsa manakala 2,763 orang direkodkan dalam kalangan warga emas berusia lebih 60 tahun,” menurut kenyataan itu yang dikongsikan menerusi Facebook JSJK hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, kumpulan umur 15 hingga 20 tahun pula mencatatkan 1,962 mangsa.

“Situasi ini membuktikan bahawa jenayah telekomunikasi memberi kesan kepada semua lapisan umur dan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, orang ramai yang menjadi mangsa boleh membuat laporan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997, membuat semakan melalui portal Semak Mule serta melaporkan kejadian kepada polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504989