Oleh Noornasrin Salsabila Othman
KOTA BHARU, 21 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada Kerajaan MADANI terbukti menjadi ‘penyelamat’ kepada rakyat untuk membantu menampung keperluan harian, terutama ketika kenaikan kos sara hidup.
Pekerja swasta Siti Nabilah Abdul Basir, 32, berkata bantuan itu membolehkan beliau membeli barangan keperluan harian, sekali gus dapat menjimatkan peruntukan perbelanjaan bulanan.
“Kebiasaannya, saya memperuntukkan sekitar RM200 sebulan bagi keperluan harian termasuk sabun dan barangan asas lain. Namun, dengan adanya bantuan SARA ini perbelanjaan bulanan saya dapat dijimatkan dengan ketara.
“Selain itu, pelekat MyKasih pada barangan terpilih yang layak dibeli turut memudahkan proses pemilihan dan pembelian, sekali gus menjadikan urusan di pasar raya lebih lancar dan mudah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, warga emas Ainy Md Yunos, 73, pula berkata kaedah pembayaran tanpa tunai menggunakan MyKad atau kad pengenalan diri memudahkan urusan pembelian barangan keperluan di kedai serta pasar raya terpilih.
“Bantuan ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos perbelanjaan barangan keperluan asas, malah kaedah pelaksanaannya dengan menggunakan MyKad memudahkan urusan dan mengurangkan berlakunya ketirisan penggunaan.
“Saya berharap bantuan seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang, selain jumlah bantuan atau barangan yang diberikan dapat diperluaskan lagi,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang serta Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan kadar purata penggunaan SARA menghampiri 100 peratus.
Beliau berkata kerajaan tidak melihat cabaran besar dalam pelaksanaan SARA setakat ini, biarpun ia melibatkan jumlah transaksi besar lebih 20 juta pengguna.
-- BERNAMA