AM

Permainan Tradisional Meriahkan Karnival Sukan HAWANA 2025

21/12/2025 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Karnival Sukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 hari ini dimeriahkan dengan pertandingan pelbagai sukan tradisional yang berlangsung di IWK Eco Park, Pantai Dalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, berkata penganjuran kali ini menerima sambutan amat menggalakkan, selaras dengan cadangan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, supaya acara sukan dipelbagaikan berbanding tahun lepas.

Beliau berkata pada penganjuran tahun lalu, fokus lebih diberikan kepada acara seperti boling, bola sepak dan bola jaring, namun tahun ini pendekatan berbeza diambil dengan menumpukan kepada sukan tradisional bagi memberi peluang penyertaan lebih meluas kepada pengamal media.

"Kami faham ada kalangan petugas media yang mungkin tidak dapat bermain permainan lasak. Jadi selain aktiviti lasak, kami bawakan juga sukan tradisional," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir ke karnival itu ialah Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz, serta Ketua Bahagian Perancangan Strategik Harlina Samson.

Nur-ul Afida berkata matlamat utama Karnival HAWANA adalah untuk merapatkan silaturahim dalam kalangan pengamal media, khususnya menjelang penghujung tahun 2025.

Beliau berkata antara permainan tradisional yang dipertandingkan hari ini termasuk tarik tali, galah panjang, tujuh tin, dam haji, congkak, dam ular, untai gelang getah dan batu seremban, disertai pemakaian baju tradisional ala kampung bagi menghidupkan lagi suasana.

Mengenai penganjuran acara pada tahun hadapan, beliau berkata pihaknya akan meneliti jenis sukan yang menjadi tarikan utama, termasuk cadangan untuk menganjurkan sukan seperti pickleball dan badminton.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada empat pasukan utama iaitu Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas penyertaan mereka.

Juara pertandingan hari ini akan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, naib juara RM2,000 manakala tempat ketiga menerima RM1,000.

Program anjuran Bernama sempena HAWANA 2025 bermula dengan pertandingan boling pada 14 Dis, diikuti acara bola jaring dan bola sepak semalam (Sabtu).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505016